Utusan Borneo (Sarawak)

Rujuk FAM sebelum dapatkan khidmat ejen bola sepak

-

KUALA LUMPUR: Pemain tempatan atau warga asing yang berminat untuk mendapatka­n khidmat ejen bola sepak dinasihatk­an merujuk kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku badan pentadbir sukan berkenaan di negara ini.

Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaska­n ia bertujuan mengelak mereka daripada menjadi mangsa penipuan sesetengah individu tidak bertanggun­gjawab yang mendakwa mereka adalah ejen bola sepak sah dan berdaftar dengan badan induk bola sepak itu.

“FAM sentiasa mengawal kebanjiran ejen bola sepak tempatan mahupun asing bagi memastikan pemain dipilih menepati kualiti yang dikehendak­i pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M).

“Mana-mana pemain tempatan atau asing yang berminat untuk beraksi di negara ini boleh terus pergi ke Persatuan Bola Sepak Negeri, kelab ataupun FAM tanpa melalui ejen bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Mohd Yusoff berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan seorang warga tempatan dipercayai menyamar sebagai ejen bola sepak dengan memperdaya­kan seorang remaja warga Uganda sehingga menyebabka­n mangsa mengalami kerugian RM3,000.

Remaja berkenaan dilaporkan membuat bayaran tersebut kononnya untuk membolehka­n beliau beraksi di Sarawak.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff menegaskan badan induk itu tidak pernah berkomprom­i dalam isu penipuan ejen bola sepak bagi menjaga kualiti Liga-M yang semakin berkembang maju. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia