Utusan Borneo (Sarawak)

Duterte dikritik larang laman sesawang berita buat liputan acaranya

-

MANILA: Tindakan Presiden Filipina Rodrigo Duterte melarang sebuah laman sesawang berita yang mengkritik­nya daripada membuat liputan mengenai istana presiden merupakan satu ancaman kepada kebebasan media, kata kumpulan hak asasi manusia dan media semalam.

Rappler, yang ditubuhkan pada 2012, merupakan beberapa organisasi berita Filipina yang pernah bertegang leher dengan Duterte berhubung liputan mereka yang mengkritik perang dadahnya yang menurut kerajaan sudah meragut nyawa hampir 4,000 suspek.

Kumpulan hak asasi manusia mendakwa ribuan lagi telah dibunuh oleh sukarelawa­n keselamata­n.

Jurucakap Duterte berkata presiden itu memutuskan untuk melarang wartawan Rappler daripada membuat liputan mengenai acaranya kerana “tidak percaya”.

Badan pemantau yang berpangkal­an di Amerika Syarikat, Human Rights Watch, berkata tindakan itu “mengancam kebebasan media”.

“Ia mungkin menandakan serangan yang lebih meluas ke atas wartawan dan organisasi berita, dengan peranan pemantau kritis yang telah membesarka­n rekod hak asasi manusia kerajaan yang buruk,” ia menyebut dalam satu kenyataan.

Tindakan itu diambil ketika laman terbabit turut berdepan dengan penutupan yang dilaksanak­an oleh kerajaan, selepas badan kawalan korporat kerajaan pada bulan lepas mendakwa Rappler melanggar larangan oleh perlembaga­an ke atas pemilikan asing dalam media tempatan.

Sejak memegang kuasa pada 2016, Duterte juga secara terbuka menyerang saluran media lain yang mengkritik dasarnya.

Kelmarin pengawal keselamata­n melarang pemberita istana dari Rappler daripada memasuki pekarangan pejabat presiden.

Pemberita wanita itu kemudian dibenarkan untuk menghadiri satu sidang akhbar oleh jurucakap Duterte tetapi dilarang daripada membuat liputan mengenai ucapan presiden.

Jurucakap presiden Harry Roque semalam berkata Duterte memutuskan untuk melarang Rappler daripada membuat semua liputan presiden.

Perintah itu diterima sehari selepas Senat memanggil ketua pembantu Duterte untuk menjawab soalan ekoran satu laporan Rappler bahawa beliau telah campur tangan dalam satu projek kapal kecil bernilai AS$308 juta (RM1.14 bilion) yang kontrovers­i oleh tentera laut Filipina.

Duterte melabel laporan itu sebagai “berita palsu”.

Rappler, yang telah mengemukak­an rayuan terhadap keputusan pada bulan lepas, mengecam larangan Duterte sebagai satu “cubaan untuk mengugut wartawan bebas”.

Kumpulan media tempatan dan penggubal undang-undang pembangkan­g turut mengecam keputusan Duterte.

“Ia memberi isyarat jelas dan menyeramka­n bahawa semua orang lain lebih baik melaporkan hanya apa yang beliau mahukan sahaja, jika tidak, awas,” kata Kesatuan Wartawan Kebangsaan Filipina. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia