Utusan Borneo (Sarawak)

RHB Research kekalkan penarafan ‘beli’ ke atas Petronas Chemicals

-

KUALA LUMPUR: RHB Research Institute Sdn Bhd mengekalka­n penarafan ‘beli’ ke atas Petronas Chemicals Group Bhd susulan pengumuman prestasi kewangan 2017 nya yang baik, dengan keuntungan melepasi unjuran.

Keuntungan sebelum cukai Petronas Chemical bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2017 meningkat kepada RM5.24 bilion berbanding RM4.11 bilion pada 2016, dan hasil meningkat kepada RM14.41 bilion berbanding RM13.86 bilion sebelumnya.

Dalam nota semalam, firma penyelidik­an itu berkata pendapatan teras Petronas Chemicals 2017 melebihi jangkaan, menyumbang 115 peratus daripada unjurannya, susulan tebaran produk dan jumlah jualan yang lebih baik daripada jangkaan.

Ia berkata harga produk dijangka kekal kukuh sepanjang 2018, berikutan aktiviti pemulihan yang berterusan di rantau ini.

“Kami menaikkan anggaran hasil, masing-masing untuk 2018 dan 2019 sebanyak 12.2 peratus dan 11.7 peratus, selepas mengambil kira harga produk dan jumlah jualan yang tinggi.

“Hasilnya, harga sasaran meningkat kepada RM11.18 berbanding RM9.97, meningkat 38 peratus,” kata RHB Research Institute.

Ia juga berkata pemangkin yang berpotensi bagi Petronas Chemicals termasukla­h pembayaran dividen yang lebih tinggi, suntikan tunai Saudi Aramco untuk pengembang­annya dalam projek Pembanguna­n Bersepadu Penapisan dan Petrokimia, manakala risiko termasuk penurunan harga minyak mentah yang kini teguh, selain penutupan lebih panjang lojinya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia