WARGA EMAS TERBUNUH NAHAS MOTOSIKAL, LORI
KUCHING: Seorang lelaki warga emas terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan jalan raya di Batu 17, Jalan Batu Gong, Siburan dekat sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa Chong Kong Chiong, 63, terdahulu dikatakan bergerak dari arah Jalan Batu Gong menuju ke Jalan Kuching-Serian sekitar jam 8 pagi.
Setibanya di tempat kejadian katanya, mangsa dipercayai cuba memotong kenderaan lain namun tidak sempat mengelak lori yang datang dari arah bertentangan lalu bertembung sehingga menyebabkan dia tercampak dari atas motosikalnya.
“Mangsa bertembung dari arah bertentangan dengan lori yang datang dari arah simpang Jalan Kuching-Serian ketika dia (mangsa) dipercayai cuba memotong kenderaan lain.
“Impak pertembungan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di badan serta kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa oleh anggota paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya.
Mayat mangsa yang berasal dari Siburan kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk upacara pengebumian.
Manakala pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.