Pelan Induk Sistem Grid Air Sarawak sedang dimuktamad, diteliti: Dr Rundi
KUCHING: Pelan Induk Sistem Grid Air Sarawak sedang dimuktamad dan diteliti oleh Kementerian Utiliti dengan kerjasama Unit Perancangan Negeri (SPU).
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom pada sidang media selepas mengetuai Jawatankuasa Penganjur Sidang Kemuncak Tenaga Lestari (ISES) Keempat (2018) mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata pelan induk itu merupakan perancangan pembangunan bekalan air Sarawak untuk tempoh 10 tahun akan datang, sudah siap dirangka.
Menurutnya faktor utama menyumbang kepada masalah bekalan air di Sarawak ialah isu pengagihan, saluran paip yang sudah lama serta loji rawatan air melebihi kapasiti.
“Kita ( kerajaan negeri) tidak hanya berdepan masalah sedia ada dan diselesaikan segera tetapi air grid adalah penyelesaian masa depan iaitu Sistem Grid Air yang dianggarkan menelan belanja sekitar RM7 bilion.
“Maknanya kita menggunakan air dari empanganempangan seperti Empangan Hidro Elektrik Bakun, Batang Ai dan Murum sebagai sumber air,” katanya.
Dr Rundi berkata perkara itu telah dibincang bersama Abang Johari untuk melaksanakan sistem grid air Sarawak secara zon iaitu selatan, tengah dan utara.
Di bawah sistem itu juga katanya, agensi-agensi utama seperti Lembaga Air Kuching ( LAK), Lembaga Air Sibu ( LAS) dan Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) akan mengurus loji-loji rawatan air utama di zon selatan, tengah dan utara.
Tambahnya sistem itu akan bermula dari zon selatan hingga utara dan saling menyokong antara satu sama lain.
Bermakna Sarawak mempunyai sistem sokongan jika berlakunya gangguan bekalan air sama seperti bekalan elektrik sekarang, ujarnya.
Selain itu katanya, Kementerian Utiliti sedang mengenal pasti dan meneliti kawasan berisiko tinggi bagi membolehkan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang dapat diambil.
“Dengan itu dalam tempoh lima, 10 dan 15 tahun akan datang isu kekurangan bekalan air, tekanan rendah atau bekalan tidak mencukupi akan menjadi sejarah.
“Itulah visi dan misi kementerian sekarang, ia bukan suatu yang murah tetapi kita akan berusaha mencari cara mendapatkan lebih banyak wang untuk memastikan masalah ( bekalan) air di Sarawak dapat diselesaikan,” ujarnya.
Hadir sama Menteri Muda Bekalan Elektrik Luar Bandar Dr Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti Datuk Alice Jawan, pengerusi penganjur ISES 2018 yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ( CEO) SEDA Catherine Ridu, Pengarah Elektrik Kementerian Utiliti Syed Mohamad Fauzi Shahab, CEO SEDA Dr Wei Nee Cheh, Ketua Kidmat Pengurusan Kementerian Utiliti Pele Peter Tinggom dan Pegawai Tadbir Kementerian Utiliti Surayah Morshidi.