Produktiviti buruh Malaysia 2017 meningkat 3.6 peratus
KUALA LUMPUR: Produktiviti buruh Malaysia pada 2017 meningkat 3.6 peratus kepada nilai RM81,039 daripada RM78,244 pada tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ia selari dengan peningkatan nilai tambah sektor itu pada 5.9 peratus (2016: 4.2 peratus) dan pekerja meningkat 2.2 peratus (2016: 0.7 peratus).
Beliau berkata, produktiviti buruh Malaysia berkembang 3.6 peratus (RM85,031) pada suku keempat 2017 selepas mencatatkan 4.1 peratus (RM82,433) pada suku ketiga 2017.
“Sektor pertanian mencat- atkan pertumbuhan produktiviti buruh 4.8 peratus (S3 2017: 5.2 peratus) pada RM55,490. Nilai ditambah sektor ini meningkat kukuh pada 10.7 peratus (S3 2017: 4.1 peratus) manakala pekerja melonjak kepada 5.6 peratus ( S3 2017: - 1.1 peratus),” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, produktiviti buruh bagi sektor perlombongan dan pengkuarian pulih kepada 4.7 peratus (RM1,240,137) daripada pertumbuhan negatif 8.5 peratus pada suku sebelumnya.
Mohd Uzir berkata, nilai ditambah sektor ini merekodkan penurunan marginal sebanyak 0.5 peratus (S3 2017: +3.1 peratus) mana- kala pekerja turun pada kadar lebih pantas 5.0 peratus (S3 2017: +12.6 peratus).
Produktiviti buruh sektor pembuatan meningkat 3.6 peratus (S3 2017: 5.1 peratus) pada RM115,434 dengan nilai ditambah meningkat 5.4 peratus (S3 2017: 7.0 peratus) manakala pekerja meningkat 1.8 peratus ( S3 2017: 1.7 peratus), katanya.
“Sektor pembinaan merekodkan pertumbuhan produktiviti buruh 1.4 peratus (S3 2017: 4.8 peratus) pada RM39,967. Pertumbuhan nilai ditambah sektor ini adalah 5.8 peratus (S3 2017: 6.1 peratus) manakala pekerja meningkat 4.3 peratus (S3 2017: 1.2 peratus),” katanya. — Bernama