Pesta Kaul antara tradisi Melanau masih dipelihara
MUKAH: Pesta Kaul merupakan salah satu tradisi untuk kaum Melanau yang masih dipelihara sehingga generasi kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, ia harus terus dipelihara demi generasi Melanau pada masa depan.
“Kita harus pelihara tradisi Kaul ini kerana ia hanya disambut oleh kaum Melanau,” katanya pada sambutan Pesta Kaul Datan, Kampung Jebungan pada Sabtu.
Menurutnya, keunikan Pesta Kaul adalah ia salah satu antara tarikan tradisi dan budaya Melanau dan juga salah satu pecahan etnik di Sarawak.
Sebagai salah satu pecahan etnik yang ada di Sarawak, Kaul adalah kebanggaan kaum Melanau di mana jarang ada perayaan yang khas untuk sesuatu etnik sahaja.
Sementara itu juga, Kaul juga berperanan untuk menyatukan masyarakat Melanau serta masyarakat lain.
“Walaupun Kaul disambut oleh Melanau, namun kaumkaum lain turut merasakan kehebatan perayaan yang diraikan bersama ini,” jelasnya.
Ia merupakan salah satu perubahan positif dan ke arah globalisasi di mana adaptasi antara kaum lain turut terjadi.
Abdul Yakub pada masa sama mengucapkan tahniah kepada ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Jebungan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Jebungan serta belia kampung kerana berjaya menganjurkan Kaul berkenaan.