Kerjasama semua pihak perlu jadikan Kuching bandar raya khazanah dunia
KUCHING: Usaha dan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan adalah diperlukan bagi merealisasikan visi kerajaan negeri untuk menjadikan Kuching sebagai bandar raya khazanah dunia.
Ahli Dewan Bandaraya Kuching Utara Datuk Wee Hong Seng berkata kerajaan boleh memandu inisiatif ini dengan membuat perubahan dalam ordinan dan menubuhkan jabatan untuk menyelaras usaha bagi melindungi dan memperkukuhkan khazanah kita.
Tetapi katanya, usaha ini tidak cukup di mana kerajaan turut memerlukan bantuan daripada konsultan dan pakar perancangan untuk meneruskan pembangunan di negeri ini.
Sebagai contoh katanya, dalam usaha ke atas Taman Perpaduan, kerajaan bekerjasama dengan ramai pakar untuk memaksimumkan landskap dan mengetengahkan khazanah Taman Perpaduan.
“Kami juga memerlukan bantuan daripada masyarakat umum untuk menyemai kesedaran ke atas khazanah kita.
“Dengan kerjasama daripada semua pihak, pelancong yang datang ke Kuching akan dapat menikmati dan mempelajari keunikan khazanah kita,” katanya ketika berucap pada Festival Chap Goh Meh di Lebuh India malam kelmarin.
Bercakap mengenai festival tersebut, Wee yang juga pengerusi penganjur berkata tahun ini, festival ini diadakan di Lebuh India bertepatan dengan kedudu- kan tempat ini yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuching.
Festival ini turut dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya persembahan tarian singa dan naga, persembahan bunga api, persembahan tarian tradisional Cina, Melayu dan India dan persembahan gendang Cina.
Terdahulu sebaik ketibaan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg, beliau serta tetamu yang lain melakukan upacara membaling limau yang merupakan amalan tradisi masyarakat Cina pada sambutan Chap Goh Meh.
Festival tersebut telah menarik kehadiran ramai pengunjung yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk pelancong dari dalam dan luar negara.