Penduduk daerah Kabong mahu Mawan dicalon semula
KABONG: Lebih 200 penduduk dari daerah Kabong yang terdiri daripada ketua masyarakat, ketua kaum dan penduduk setempat mengibarkan kain rentang menyatakan sokongan penuh kepada pencalonan semula Ahli Parlimen Saratok Tan Sri William Mawan Ikom pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
Rata-rata mereka menyifatkan Mawan pemimpin berkaliber dan disenangi rakyat di peringkat akar umbi serta prihatin dengan setiap masalah yang membelenggu penduduk di kawasan ini.
Penghulu Kamalludin Ramli berkata, Parlimen Saratok amat memerlukan pemimpin berpengalaman seperti Mawan.
“Berdasarkan pengalaman dalam arena politik, beliau (Mawan) amat layak untuk dicalonkan semula sebagai wakil rakyat di Parlimen ini pada PRU14 akan datang.
“Kita yakin beliau akan mendapat sokongan penuh masyarakat sekiranya dicalonkan semua,” katanya ketika ditemui media, semalam.
Bagi Penghulu Michael Daji pula, Mawan cepat bertindak setiap kali ada masalah membelenggu rakyat di kawasan ini.
Daripada aspek pembangunan katanya, pelbagai peruntukan dan pembangunan telah disalurkan Mawan kepada masyarakat di sini sepanjang tempoh berkhidmat dan menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kawasan ini.
“Oleh itu, tiada sebab bagi kita untuk mencari calon baharu bagi mewakili masyarakat di kawasan ini pada PRU14 akan datang.
“Mawan amat disenagi rakyat di sini, justeru mengapa beliau perlu ditukar,” tegas Michael.
Sementara itu, bagi Kapitan Ho Tong Kie pula, Mawan amat mementingkan pembangunan dan kemajuan tanpa mengira bangsa dan agama.
“Masyarakat Cina di kawasan ini amat berterima kasih kepada Mawan kerana sepanjang tempoh beliau sebagai wakil rakyat, pelbagai peruntukan dan bantuan telah disalurkan kepada masyarakat Cina.
“Sungguhpun hanya terdapat lebih kurang 90 pengundi Cina di kawasan ini, Mawan tidak pernah mengabaikan kaum kami, malah sentiasa berlaku adil,” tegasnya.
“Jika masyarakat lain dapat geran atau bantuan, kaum Cina di sini turut tidak ketinggalan.
“Daripada aspek pendidikan, sekolah Cina di kawasan ini telah mendapat pelbagai manfaat yang disumbangkan beliau,” kata Ho.
Oleh itu katanya, masyarakat Cina di kawasan berkenaan akan memberi sokongan penuh sekiranya Mawan dicalonkan semula sebagai wakil rakyat di kawasan ini pada PRU14.
“Kita yakin beliau (Mawan) mempunyai peluang yang cerah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Saratok, jika terus diberikan kepercayaan untuk menjadi calon PRU14 di kawasan ini,” tegas Ho.