MOSHPS akan bekerjasama dengan MBM tingkat keselamatan awam di Miri
MIRI: Pertubuhan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Miri (MOSHPS) akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk meningkatkan keselamatan awam dalam semua aspek di bandar raya ini.
Pengerusinya Dr Julian Jolly berkata usaha itu penting untuk memupuk masyarakat menjadikan keselamatan sebagai budaya atau amalan dalam kehidupan masingmasing.
“Masyarakat kita sedia maklum mengenai pentingnya keselamatan dan kesihatan dalam pekerjaan, namun komitmen untuk menjadikannya sebagai budaya atau amalan seharian adalah sangat rendah.
“Oleh itu, MOSHPS mahu memainkan peranan yang bukan hanya untuk meningkatkan kesedaran keselamatan, tetapi membudayakan masyarakat agar mengamalkan keselamatan tersebut,” ujarnya kepada Utusan Borneo ketika mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Datuk Bandar MBM Adam Yii di sini, Khamis lalu.
Jelas Dr Julian, isu keselamatan bukan sahaja menjadi perhatian di tempat kerja, namun turut perlu dijadikan keutamaan di tempat-tempat awam seperti kawasan perumahan, taman rekreasi, jabatan kerajaan, pusat belibelah, institusi pendidikan dan lain-lain.
Terdahulu, Dr Julian memberi penerangan kepada Adam mengenai program yang dicadangkan oleh masyarakat mengenai kursus keselamatan untuk kontraktor am di Miri.
Jelasnya kepada Yii, antara matlamat program itu adalah untuk meningkatkan kesedaran kesemua pihak kontraktor berdaftar di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Bahagian Miri atas akauntabiliti dan kesedaran mereka mengenai keselamatan secara umum serta keselamatan awam.
Katanya kontraktor MBM yang telah diamanahkan untuk menyediakan perkhidmatan di sini juga menjadi sasaran MOSHPS bagi meny- ertai kursus yang dicadangkan terbabit.
Sementara itu, Yii memberi maklum balas positif kepada usaha tersebut dalam mempromosikan dan meningkatkan kesedaran keselamatan sekali gus menjadikannya sebagai budaya seharian.
Yii mengakui bahawa kurangnya kesedaran tentang keselamatan awam di pelbagai tempat awan di Miri.
Oleh itu katanya, beliau sememangnya mengalu-alukan masyarakat untuk memberi penekanan terhadap kepentingan rakyat dalam bersama mewujudkan tahap keselamatan yang tinggi di tempat-tempat awam.
Tambah Yii, MBM akan sentiasa memberi sokongan penuh kepada MOSHPS untuk meningkatkan aspek keselamatan awam di sini.
Sehubungan itu, MOSHPS turut memberi cadangan untuk bekerjasama dengan MBM dalam aspek keselamatan makanan dan meningkatkan kebersihan dalam penyediaan makanan.