Dr Hazland cadang klinik kesihatan di Tanjung Bako
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni mencadangkan agar sebuah klinik kesihatan dibina di kawasan Tanjung Bako untuk kegunaan penduduk di empat kampung di situ.
Beliau memberitahu sehingga kini, penduduk di kawasan tersebut terpaksa ke Hospital Jantung Sarawak atau klinik kesihatan di Kota Samarahan atau menyeberang sungai ke Sejingkat.
Jelasnya, dengan adanya klinik kesihatan di kawasan itu, sudah pasti penduduk di empat kampung tersebut iaitu Kampung Tanjong Bako, Kampung Pinggan Jaya, Kampung Muhibah Pending dan Kampung Binyu lebih mudah mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
“Saya telah menghantar permohonan kepada kerajaan untuk membina sebuah klinik kesihatan untuk kawasan ini tetapi kita masih menunggu maklum balas mengenai perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian dan penyerahan anak angkat pelajar perubatan tahun satu, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Dewan Wawasan Kampung Tanjong Bako dekat sini semalam.
Mengenai program anak angkat itu, Dr Hazland berharap bakal doktor dapat menjadikan proram sebegini sebagai batu loncatan untuk memahami dan menyelami situasi sebenar penduduk kampung sebelum melangkah ke alam pekerjaan apabila tamat pengajian kelak.
“Penduduk di sini beruntung kerana dipilih sebagai lokasi untuk melaksanakan program ini, jadi gunakanlah peluang ini untuk kita bersama-sama berkongsi pen- galaman tentang penjagaan kesihatan dalam mewujudkan masyarakat yang sihat,” ujarnya.
Pada majlis itu, Dr Hazland turut menyaksikan penyerahan anak angkat melibatkan 155 pelajar UNIMAS kepada 33 ahli keluarga angkat di kampung berkenaan.
Program anak angkat itu adalah pendedahan awal kepada bakal doktor berkaitan cara hidup masyarakat kampung dan diharap pengalaman ini dapat membantu mereka memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat pada masa akan datang.
Program yang menawarkan Kursus Kesihatan Keluarga itu merupakan anjuran Jabatan Perubatan Komuniti dan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tanjong Bako.