Lelaki bunuh diri di hadapan Rumah Putih
WASHINGTON: Seorang lelaki menembak dirinya sendiri di kawasan pejalan kaki di hadapan Rumah Putih kelmarin, kata pegawai.
“Seorang lelaki dewasa disahkan mati,” kata Jabatan Polis Washington menerusi laman sosial Twitter.
Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) berkata, seorang lelaki kulit putih menghampiri pagar utara Rumah Putih kira-kira jam 11.46 pagi waktu tempatan, mengeluarkan sepucuk pistol yang tersembunyi dan melepaskan beberapa tembakan, tiada satu pun diarahkan ke Rumah Putih.
Identiti lelaki itu tidak dikeluarkan sementara ahli keluarganya dimaklumkan, menurut kenyataan rasmi Rahsia.
Ketika kejadian, kira-kira 100 orang kebanyakan pelancong, berada di hadapan Pennsylvania Avenue di hadapan Rumah Putih dan tiada sesiapa dilaporkan cedera.
Polis dan kakitangan perubatan dengan pantas menyerbu kawasan itu dan Rumah Putih ditutup.
Kawasan di utara Rumah Putih dikosongkan dan dikawal ketat. Polis juga memasang pita jenayah di sepanjang laluan berhampiran, K Street di mana pihak berkuasa memeriksa sebuah kereta yang diparkir di situ.
Ketika kejadian, Presiden Donald Trump dan isterinya Melania berada di pusat peranginan Mar-a-Lago di Florida.
Presiden dijangka kembali ke Washington lewat hari yang sama untuk menghadiri majlis makan malam tahunan Kumpulan Gridiron.
“Kami menyedari insiden tersebut dan Presiden telah diberikan taklimat,” kata timbalan setiausaha media, Hogan Gidley.
Polis tempatan akan mengetuai siasatan kejadian itu, dengan sokongan Perkhidmatan Rahsia dan agensi lain, kata Perkhidmatan Rahsia.