Kerajaan komited bantu usahawan belia Semporna
KOTA KINABALU: Belia harus bersedia menerima apa juga jenis bantuan kerajaan dari segi modal perniagaan, sukan dan sosial bagi manfaat bersama.
Ahli Parlimen Belia Malaysia Sabah Mohd Faizal Mohd Fadzil berkata, tidak salah untuk menerima bantuan seumpamanya kerana belia sememangnya memerlukan sokongan daripada kerajaan.
“Karnival Keusahawanan Belia Semporna yang diadakan baru-baru ini mendapat sambutan yang baik daripada golongan muda.
“Karnival yang diadakan selama tiga hari itu diisi dengan pelbagai program seperti Suara Emas ll, Autoshow, Colourful Fun Run, pameran agensi-agensi kerajaan dan swasta serta banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Beliau yang juga Pengerusi Penganjur berkata, karnival itu mendapat kerjasama daripada Kementerian Belia Sukan dan Pergerakan Pemuda UMNO Semporna.
Hadir sama merasmikan majlis itu ialah Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.
Pada majlis itu, Nasir mengingatkan belia agar terus bersama pihak kerajaan yang telah banyak membantu dalam agenda pembngunan modal insan.
Katanya, kerajaan juga berjanji akan sentiasa membantu para belia-belia daerah khususnya dalam menjalankan aktiviti usahawan atau mahupun aktiviti lain.
Turut hadir ialah Pemangku Ketua Pemuda UMNO Semporna Marzuki Nasir serta pemimpin UMNO yang lain.