RPEL mencipta peluang pekerjaan yang lebih cerah
Sejak kemerdekaan, Malaysia telah berjaya menembusi pasaran ekonomi global yang tidak lagi tertumpu kepada sektor pertanian dan perlombongan semata. Pelbagai sektor dan industri lain turut diterokai dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Pelbagai strategi pembangunan negara telah direncana dan salah satunya adalah melalui penubuhan organisasi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) di bawah Kementerian Sumber Manusia, pada tahun 1993.
PSMB diberi mandat untuk membangunkan sumber manusia negara selain turut membantu mewujudkan pasaran tenaga buruh tempatan yang cekap sekaligus menyokong usaha negara dalam mencapai status negara maju.
Menteri Sumber Manusia, Dato Sri (Dr) Richard Riot Anak Jaem berkata, sudah tiba masanya negara mengiktiraf secara sah kemahiran dan bakat yang dimiliki oleh individu negara ini. Dengan merujuk kepada model pengiktirafan di negara-negara seperti United Kingdom dan Australia, Malaysia turut memperkenalkan model pengiktirafannya pada tahun 2009 menerusi ‘Recognition of Prior Experiential Learning Scheme’ (RPEL).
Skim RPEL ini membolehkan individu mendapat pengiktirafan terhadap kemahiran, pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki secara formal atau sebaliknya. Kelayakan yang diperolehi adalah setaraf diploma iaitu Diploma Kemahiran Malaysia Tahap 4.
“Ketika berada di Serian, saya melihat ramai veteran tentera berada dibawah kumpulan B40 dengan pendapatan bulanan isi rumah RM3,900 dan ke bawah. Kebanyakannya menjadi pemandu teksi, pemandu van dan pengawal keselamatan untuk menyara keluarga,” katanya semasa menyampaikan ucapan pembukaan dalam majlis pengijazahan RPEL 2018 di Kuching, minggu lepas.
Isu ini telah segera disuarakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha membela nasib mantan anggota tentera yang tidak mempunyai sebarang akreditasi untuk pelbagai kemahiran khusus yang diperolehi ketika berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Usaha itu membuahkan hasil pada tahun 2016, satu Memorandum Persefahaman telah ditandatangani antara PSMB, Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera Malaysia (PERHEBAT) untuk memperkenalkan Skim RPEL kepada persara kakitangan tentera.
Bercakap di hadapan pegawai tertinggi dari Kementerian Sumber Manusia, PSMB, ahli media, tetamu terkenal, dan 132 graduan dari Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FeMAC) dan PERHEBAT, Dato Sri (Dr) Richard berkata, “Hari ini merupakan hari bersejarah untuk veteran tentera, jika sebelum ini hanya boleh bermimpi, kini akhirnya pengetahuan, kemahiran dan pengalaman masingmasing telah diiktiraf setaraf diploma.”
Dengan pengiktirafan itu, beliau berharap semua individu dapat memperoleh pekerjaan yang lebih baik seterusnya meningkatkan status sosio-ekonomi mereka.
Ketua Eksekutif PSMB, Dato’ CM Vignaesvaran Jeyandran yang turut memberi ucapan semasa majlis tersebut berkata, “Rancangan Malaysia ke-11 memperlihatkan tumpuan berterusan kerajaan dalam meningkatkan peluang inklusif dan saksama bagi semua rakyat Malaysia, dengan penekanan untuk membangunkan 2.7 juta orang dari kumpulan B40.”
“Kita mesti terus memanfaatkan sepenuhnya potensi bakat sedia ada untuk meningkatkan produktiviti negara. RPEL memberi peluang kedua untuk menjadi lebih baik, saya harap semua orang akan mengamalkan budaya ‘Kaizen’ yang menggalakkan kita untuk sentiasa berusaha memperbaiki hidup,” tambah Dato Vignaesvaran.
Sebelum menyampaikan skrol, Dato’ Sri (Dr) Richard turut menegaskan kepada semua graduan, “Menjelang 2027, banyak pekerjaan akan hilang berpunca daripada perkembangan teknologi. Oleh itu, negara perlu bersiap dalam menyediakan bekalan tenaga kerja yang siap dan mahir untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0.”
“Saya percaya dengan penganugerahan sijil RPEL ini, majikan akan memandang baik terhadap pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki oleh anda,” tambah Dato’ Sri.