Peluang kepada anak Sarawak ceburi sektor minyak dan gas
KUCHING: Kejayaan kerajaan negeri menuntut hak meneroka sumber semula jadi minyak dan gasnya diharap dapat memberi peluang kepada anak-anak negeri ini berkecimpung dalam sektor berkenaan.
Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu ( PBB) Gerald Rentap Jabu berkata, ini khususnya kepada golongan muda berkelayakan serta pekerja bidang tersebut untuk menyumbang bakti kepada Ibu Pertiwi.
“Kerajaan negeri berhak untuk menguatkuasakan undang-undang Ordinan Perlombongan Minyak yang akan mengawal selia operasi.
“Hak perlombongan dan lesen untuk memprospek hasil minyak dan gas yang telah lama wujud tidak pernah dimansuhkan.
“Dengan ini, kerajaan dan rakyat Sarawak akan mendapat manfaat yang lebih daripada hasil pendapatan dan aktiviti ekonomi minyak dan gas di persekitaran sempadan Sarawak,” katanya kepada Utusan Borneo, semalam.
Rentap yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Layar berkata, hasil pendapatan berkenaan akan disalurkan untuk pembangunan infrastruktur, peningkatan pertanian dan sebagainya melalui program dan polisi kerajaan negeri.
“Bagi pihak pergerakan Pemuda PBB, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Atas usaha beliau, kerajaan negeri dapat menuntut balik kuasa telah terhakis menurut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Rentap pada masa sama turut melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah memberi persetujuan supaya hak tersebut diserah balik kepada Sarawak.
Semasa melancarkan PETROS malam kelmarin, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan bahawa Sarawak akan meneroka sumber semula jadi minyak dan gasnya yang secara perlembagaannya di bawah Senarai Negeri seperti mana dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Abang Johari, penubuhan PETROS serta pelaksanaan hak perlembagaan di bawah Perkara 2 (c) Senarai Negeri dan Senarai 8 (j) Perlembagaan Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan adalah hasil perbincangan mengenai penurunan kuasa antara kerajaan negeri dan persekutuan.