Utusan Borneo (Sarawak)

Mekanik berdepan hukuman lebih berat sebabkan kematian pelari maraton

-

KLANG: Seorang mekanik yang didakwa memandu secara berbahaya dalam insiden rempuhan tiga peserta larian Klang City Internatio­nal Marathon di sini pada Disember lepas, berdepan hukuman lebih berat berikutan kematian seorang daripada peserta itu awal bulan ini.

Ketika prosiding di Mahkamah Majistret di sini, semalam, Majistret Roslizi Sulaiman membenarka­n permohonan Timbalan Pendakwa Raya Amira Abd Aziz untuk meminda pertuduhan ke atas Teoh Thiam Lim, 28, selepas dimaklumka­n bahawa peserta itu, Evelyn Ang Gek Suan, meninggal dunia pada 1 Mac lepas.

Jurubahasa mahkamah kemudian membacakan pertuduhan pindaan itu terhadap Teoh iaitu dia didakwa memandu sebuah kereta Proton Iswara secara melulu atau dengan kelajuan atau dengan cara membahayak­an dan telah menyebabka­n kematian kepada Ang, 44, di Batu 2, Jalan Kapar di sini kira-kira jam 4.30 pagi pada 10 Dis tahun lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987 yang memperuntu­k hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 serta lesen memandu digantung, jika sabit kesalahan.

Teoh bagaimanap­un mengekalka­n pengakuan tidak bersalah seperti semasa kali pertama dia dihadapkan ke mahkamah sama pada 20 Feb lepas.

Sebelum ini, Teoh didakwa memandu kereta Proton Iswara secara melulu atau dengan kelajuan atau dengan cara berbahaya kepada orang awam di tempat, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkut­an Jalan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

Roslizi mengekalka­n jumlah jaminan RM5,500 yang ditetapkan terhadap Teoh sebelum ini dan menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan sementara menunggu laporan bedah siasat serta penyerahan dokumen. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia