Tanpa pendidikan sempurna, keciciran persekolahan menjadikan generasi kini tidak berupaya bersaing
LUBUK ANTU: Pendidikan sempurna adalah kunci kepada kehidupan dan jalan terbaik untuk mengubah masyarakat dari terus dicengkam kemiskinan.
Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyalau Badak menegaskan bahawa tanpa pendidikan sempurna dan keciciran dari alam persekolahan menjadikan generasi hari ini tidak berupaya bersaing dengan rakan seusia mereka terutama dalam mengejar cita- cita masing-masing.
“Maka itu, saya kerap menyarankan kepada ibu bapa agar menyediakan peluang pendidikan sempurna kepada anak-anak kerana generasi tersebut bakal mencorakkan hala tuju diri, keluarga dan negeri malah negara Malaysia suatu hari nanti,” katanya.
“Malah saya tanpa jemu berpesan kepada anda sebagai ibu bapa dan penjaga agar tidak menjadikan kemiskinan sebagai batu penghalang dalam menyediakan pendidikan hingga ke menara gading kerana kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) banyak menyediakan
Maka itu, saya kerap menyarankan kepada ibu bapa agar menyediakan peluang pendidikan sempurna kepada anak-anak kerana generasi tersebut bakal mencorakkan hala tuju diri, keluarga dan negeri malah negara Malaysia suatu hari nanti. Datuk William Nyalau Badak Ahli Parlimen Lubok Antu
kemudahan termasuk biasiswa dan pinjaman untuk anak-anak menyambung persekolahan mereka,” tegasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok Antu di sini semalam.
Hadir sama ialah Pengetua Boo Mee Lian, Yang Dipertua PIBG Kaunselor Zainie Aji dan Timbalan Yang Dipertua PIBG Jimbun Massa.
Tambahnya, sudah menjadi misi dan visi beliau selaku Ahli Parlimen Lubok Antu melihat setiap keluarga melahirkan sekurang- kurangnya dua graduan yang secara tidak langsung dapat memenuhi pasaran tenaga kerja mahir dan separuh untuk negeri dan negara ini kelak.
“Ketika ini kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg menyasarkan rakyat Sarawak berpendapatan tinggi sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan menjelang 2020.
“Justeru kita berharap misi tersebut dapat digapai dengan generasi muda kini dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan berpendidikan tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, Nyalau menggesa ibu bapa dan guru saling bekerjasama kerana tanpa sokongan semua pihak menerusi PIBG menjadikan impian kerajaan hanya tinggal misi sahaja.
Katanya, pengetua dan guru termasuk ibu bapa menerusi PIBG harus sepasukan dan tidak mencampuradukkan politik ke dalam pembangunan pendidikan kerana ia tidak baik untuk perkembangan akademik pelajar.
“Mungkin bukan semua ibu bapa dan guru berfikiran begitu namun saya berharap anda tidak membabitkan aspek politik yang dipegang dicampur aduk ke dalam bidang akademik anakanak terutama bagi yang memegang jawatan dalam PIBG,” katanya.
Pada majlis sama, Nyalau turut memberi insentif RM100 kepada pelajar tingkatan lima yang mencatat 5A dan pelajar PT3 pula bakal menerima RM50 juga bagi keputusan 5A membabitkan peruntukan berjumlah RM15,000.
Sebagai tambahan, beliau mengumumkan peruntukan RM150,000 sebagai dana untuk membaik pulih dewan serta jalan di sekitar sekolah berkenaan.
Majlis turut dihadiri sekitar RM500 tetamu termasuk Timbalan Yang Dipertua Jimbun Massa, penghulu, kaunselor, kapitan, tuai rumah, ibu bapa serta pelajar sekolah.