Mbappe pelihara rekod bersih PSG di laman sendiri
PARIS, Perancis: Kylian Mbappe menjaringkan kedua-dua gol ketika Paris Saint Germain (PSG) menewaskan Angers 2-1 dalam aksi Ligue 1 Perancis walaupun pemain tengahnya, Thiago Motta, dibuang padang pada awal permainan kerana kad merah Rabu lepas.
Mbappe, 19, menjaringkan gol di antara penyingkiran Motta pada minit ke- 16 kerana kekasaran ke atas Romain Thomas.
Mbappe menyempurnakan umpanan Julian Draxler untuk membuka jaringan pada minit ke-12 sebelum menjaringkan gol kedua pada minit ke- 26 selepas Layvin Kurzawa mengikat kedudukan.
Dengan pasukannya hanya empat mata di atas zon penyingkiran, jurulatih Angers, Stephane Moulin tidak merahsiakan rancangan untuk perlawanan lebih penting menentang Caen Sabtu ini kerana menyedari pasukannya tidak akan dapat menang ke atas pendahulu liga itu.
Beliau membuat keputusan meletakkan penjaring terbanyak, Karl Toko Ekambi di bangku simpanan dan hanya dimasukkan ketika berbaki 30 minit permainan.
Mbappe hampir menjaringkan hatrik pada tujuh minit terakhir permainan tetapi rembatannya terkena palang sementara penjaga gol PSG, Kevin Trapp, menafikan gol penyamaan Ekambi pada lewat permainan.
Kemenangan ke-16 berturut- turut dalam liga di tempat sendiri meletakkan PSG berkelebihan 17 mata di singahsana liga berbanding pencabar terdekat, Monaco.
“Kami mahukan kejuaraan dan berada di landasan untuk menjulangnya. Kejuaraan sangat penting kerana ia menggambarkan konsistensi kami musim ini,” kata Emery.
“Saya fikir pasukan beraksi dengan baik selepas penyingkiran Motta. Kami terjejas teruk pada lewat permainan tetapi selayaknya menang. Saya gembira dengan cara pasukan saya memberi reaksi (dari penyingkiran Motta) hari ini.” — AFP