Jay-Z, Beyonce umum konsert jelajah bersama yang baharu
PASANGAN pertama muzik Beyonce dan Jay-Z baru-baru ini mengumumkan satu jelajah bersama dalam apa yang dilihat akan menjadi konsert yang paling menguntungkan pada tahun ini.
Penyanyi rap dan diva itu, yang melahirkan sepasang kembar pada Jun lepas, akan memulakan jelajah itu pada 6 Jun di bandar Welsh, Cardiff.
Pertunjukan dengan 36 tarikh itu akan menjelajah ke seluruh Eropah, termasuk satu pertunjukan pada Bastille Day di Stade de France di Paris, sebelum jelajah di Amerika Utara yang akan berakhir pada 2 Oktober di Vancouver.
Beyonce mengumumkan mengenai jelajah berkenaan dalam beberapa kemas kini status kepada 112 juta pengikutnya di Instagram termasuk satu gambar hitam putih yang menunjukkan pasangan itu menunggang sebuah motosikal.
Beliau juga memuat naik satu video setengah minit filem gerak perlahan dua bintang itu, dengan diiringi sebuah lagu klasik berjudul ‘I’m Still in Love With You’.
Jay-Z dan Beyonce memanggil jelajah itu ‘OTR II’, merujuk kepada jelajah bersama pertama mereka, ‘On the Run’ pada tahun 2014 yang mencatat keuntungan kasar sebanyak AS$100 juta.
Beyonce dijangka akan kembali ke pentas pada April ini untuk memimpin senarai penghibur di festival Coachella, iaitu persembahan pertamanya selepas melahirkan anak kedua dan ketiga pasangan itu.
Bagi Jay-Z pula, jelajah itu akan menyusul selepas konsert solonya untuk mempromosikan album terkininya ‘4:44’. — AFP