Demokrat atasi Republikan di ‘kubu kuat’ Trump
WASHINGTON: Parti Republikan yang dianggotai Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kelmarin berada di landasan untuk mengalami kekalahan mengejutkan dalam pilihan raya khas Kongres yang penting di Pennsylvania, seterusnya memburukkan kemelut yang dihadapi pentadbirannya ekoran pemecatan Setiausaha Negara AS Rex Tillerson.
Ahli Demokrat begitu teruja dengan prestasi mengejutkan yang dipamerkan oleh salah seorang anggota mereka dalam pertandingan yang mempunyai implikasi kebangsaan, dan mendakwa kejayaan mantap mereka yang tidak dijangkakan di bumi Trump – dan disangka mustahil setahun lalu – adalah petanda baik bagi mereka menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November.
Selepas semua kawasan mengemukakan laporan, dan lebih 240,000 kertas undi diputuskan Selasa lepas, calon Demokrat Conor Lamb mendahului calon Republikan Rick Saccone sebanyak 579 undi atau 49.8 peratus hingga 49.6 peratus.
Sementara pegawai daerah mengira kertas undi orang tidak hadir dan sementara yang kemungkinan akan menentukan keputusan, Lamb mengumumkan kemenangan pada awal pagi kelmarin, di sebuah daerah yang dimenangi Trump hampir sebanyak 20 mata dalam pemilihan presiden pada 2016.
The New York Times kemudian melaporkan pertandingan itu memihak kepada Lamb dan berkata kelebihannya “kelihatan tidak dapat diatasi”.
Parti Lamb dengan cepat mengisytiharkan bahawa Trump dan ahli Republikan mungkin akan berdepan dengan penentuan politik pada tahun ini – di mana kuasa dalam Kongres menjadi rebutan.
“Ketika kita menuju ke pilihan raya pertengahan penggal 2018, momentum tidak dapat dinafikan bagi calon Demokrat yang bertanding dalam pemilihan,” kata ketua Jawatankuasa Kebangsaan Demokrat Tom Perez.
“Pennsylvania hanya permulaan sahaja.”
Pencapaian Lamb – seorang bekas pendakwa raya persekutuan dan pegawai Marin AS berusia 33 tahun – membuka mata dari beberapa sudut.
Ia buka sahaja menunjukkan ahli Demokrat sudah menjalin hubungan semula dengan buruh terancang, ia juga menunjukkan bahawa golongan sederhana yang memperjuangkan keadilan ekonomi dapat menarik pengundi kelas buruh lelaki yang berkulit putih dan lebih tua – kumpulan pengundi di Amerika yang memihak kepada Trump pada 2016.
Ketua Republikan yang kelihatan serius terpaksa mengakui, tidak kira apa pun keputusan di Daerah 18, Lamb telah memberi tamparan hebat kepada prospek mereka untuk memelihara kuasa dalam Senat dan Dewan Perwakilan.
“Ini seharusnya menjadi seruan untuk bangun,” kata Speaker Dewan Paul Ryan kepada penggubal undangundang Republikan dalam satu persidangan tertutup, menurut seorang individu di dalam bilik persidangan.
Bagaimanapun, ketika beliau bercakap kepada pemberita, Ryan cuba menepis impaknya dengan menyatakan Lamb adalah seorang anggota Demokrat yang begitu sesuai sekali untuk daerahnya, dengan menjalankan kempen prokehidupan, prosenjata dan anti institusi.
“Kedua- dua calon ini bertanding sebagai calon konservatif,” kata Ryan mengenai Lamb dan Saccone.
“Saya cuma fikir kita tidak akan melihatnya di seluruh negara” pada November.
Ahli Demokrat teruja sekali mengenai kesan politik daripada potensi menewaskan ahli Republikan di kubu kuat kelas buruh yang konservatif.
“Keputusan di Pennsylvania menandakan bencana bagi ahli Republik pada November,” kata Bradley Beychok yang mengetuai jawatankuasa tindakan politik pro- Demokrat, American Bridge.
“Jika mereka tidak dapat menang di sebuah kubu kuat lama Republikan, tidak ada daerah yang selamat.”
Kesemua 435 kerusi Dewan menjadi rebutan dalam pilihan raya yang diadakan sekali setiap dua tahun. Penggal Senat adalah selama enam tahun, dan 35 daripada 100 kerusi akan dipertandingkan pada November.
Trump sendiri berkempen untuk Saccone, seorang wakil negeri yang konservatif dari segi kebudayaan dan dituduh menjalankan kempen yang hambar.
Namun pilihan raya itu diadakan ketika Rumah Putih mengalami pergolakan politik termasuk pemecatan beberapa kakitangan termasuk pemecatan Setiausaha Negara AS Rex Tillerson oleh Trump pada Selasa lepas.
Sokongan yang rendah kepada Trump sendiri tidak syak lagi menyumbang kepada keputusan buruk yang diperolehi Saccone, tetapi jurucakap Rumah Putih Raj Shah meletakkan wajah berani ke atasnya.
“Pembabitan presiden dalam pertandingan itu mengubah defisit bagi calon Republikan kepada apa yang pada asasnya adalah keputusan seri,” kata Shah.
Namun Lamb, yang amat sedar tentang bagaimana daerahnya mengundi pada 2016, enggan mengkritik presiden sewaktu berkempen, dan memilih untuk meminimumkan perpecahan politik yang telah meresahkan ramai warga Amerika.
“Saya tahu rakyat mengundi untuk presiden dan mengundi untuk saya,” kata Lamb kepada CNN.
Pencapaiannya di sebuah kubu kuat konservatif – ahli Demokrat malah tidak pernah menurunkan calon untuk menentang penyandang Republikan itu dalam beberapa pilihan raya yang lalu – membayangkan lebih banyak lagi daerah Kongres mungkin akan memainkan peranan pada November berbanding 24 kerusi yang diperlukan oleh ahli Demokrat untuk merampas semula Dewan. — AFP