Pelancong bergambar dedah punggung diusir dari Machu Picchu
LIMA: Tiga pelancong Eropah diusir dari kota kubu kaum Inca, Machu Picchu, di Peru selepas mereka mengambil gambar diri sendiri yang mendedahkan punggung mereka, kata polis kelmarin.
Pelawat terbabit – seorang lelaki berusia 21 tahun dari Jerman, seorang lelaki berusia 24 tahun dari Switzerland dan seorang lelaki berusia 26 tahun dari Belanda – dihalau dari tapak tersebut kelmarin, menurut pihak berkuasa.
“Ketiga-tiga pelancong membuka seluar mereka untuk menunjukkan punggung mereka dan mengambil gambar,” kata pegawai polis Martin Flores.
“Itu tidak dibenarkan, selari dengan peraturan dalaman yang dilaksanakan di sana, ketiga-tiga pelancong telah dihalau, tetapi mereka tidak ditahan.”
Pihak berkuasa Peru menganggap perbuatan membuka pakaian di Machu Picchu sebagai tidak hormat.
Kota kubu abad ke-15 yang agung itu – permata dalam industri pelancongan Peru – terletak 74 kilometer dari Cusco, bekas ibu kota Empayar Inca, di tenggara Peru. Dibina di atas sebuah gunung, ia diliputi dedaunan tebal di sekitarnya.
Pada Jun 2014 kementerian kebudayaan Peru menegaskan kebogelan dilarang selepas pelawat demi pelawat mengambil gambar yang menyinggung perasaan sedemikian.
Penjajah Sepanyol tidak tahu mengenai Machu Picchu, sebuah tapak warisan dunia UNESCO sejak 1983. Ia dijumpai pada 1911 oleh peneroka Amerika, Hiram Bingham. — AFP