ECERDC bekerjasama dengan TUM bagi tingkatkan penerimaan Industri 4.0
KUALA LUMPUR: Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES), yang akan dibina di Cybercentre, Taman Teknologi Pahang, akan beroperasi mulai Jun 2018, sebagai langkah untuk memacu Wilayah Ekonomi Pantai Timur ( ECER) ke hadapan Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0).
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issace John, berkata pusat itu akan mempercepatkan penerimaan Industri 4.0 dalam ECER.
Langkah itu sebahagiannya adalah strategi keseluruhan untuk memudahkan peralihan wilayah berkenaan ke dalam ekonomi berasaskan produktiviti dan intensif teknologi seperti yang digariskan dalam Pelan Induk ECER 2.0 yang akan diumumkan tidak lama lagi.
“Kami sekarang sedang mengusahakan fasa pertama selama 20 bulan.
Universiti Teknikal Munich ( TUM) dan ECERDC, masing- masing akan melabur sebanyak RM1 juta dan RM1.5 juta, bagi menubuhkan ACES.
“Kami mempunyai penunjuk prestasi utama untuk mencapai sekurang-kurangnya 15 syarikat dalam tempoh berkenaan. Kami telah memulakan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China dan Projek Landasan Keretapi Pantai Timur,” katanya kepada Bernama selepas menandatangani perjanjian kerjasama itu dengan TUM International GMBH di sini kelmarin.
Perjanjian tersebut ditandatangani dengan Pengarah Urusan TUM International GMBH, Daniel A. Gottschald.
Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
TUM International GMBH adalah anak syarikat milik penuh TUM, universiti terbaik di Jerman berdasarkan Penyenaraian Universiti Dunia QS.
ECERDC berkata ia akan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran TUM bagi mendapatkan rangka kerja teknikal dan pelan hala tuju Industri 4.0, termasuk latihan dan persijilan.
“TUM akan menyediakan khidmat nasihat dan perundingan mengenai pengenalan dan peningkatan teknologi dalam pelbagai bidang dalam lingkungan sektor swasta dan awam mengenai Industri 4.0, termasuk teknologi pintar dan inovatif yang lain.
“Ia juga akan menugaskan pakar teknikal kepada ACES untuk mengadakan bengkel dan seminar secara individu kepada syarikat-syarikat, serta menyediakan kursus latihan bagi graduan dan pekerja profesional dari Malaysia dan Asia,” kata ECERDC.
Katanya, ACES telah dibayangkan untuk menjadi nukleus kepada pusat kompetensi untuk pembangunan Industri 4.0 melalui inisiatif dan perkongsian kerajaan-akademik-industri strategik dan juga bagi menawarkan teknologi yang relevan untuk membina rantaian nilai baharu di Asia. — Bernama