Pegawai, kakitangan JPNIN Bahagian Kuching lafaz, tandatangan Ikrar Bebas Rasuah
KUCHING: Pegawai dan kakitangan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Kuching melafaz serta menandatangani Ikrar Bebas Rasuah semalam.
Program bacaan ikrar tersebut adalah sebagai menyahut seruan jabatan di peringkat kebangsaan.
Pegawai Perpaduan Bahagian JPNIN Bahagian Kuching Rasid Mahsin berkata, seramai 115 pegawai dan kakitangan jabatan termasuk dari Bahagian Serian menyertai program lafaz ikrar ini.
“Saya berharap ikrar yang dibuat hari ini ( semalam) bukan sekadar bacaan tetapi perlu difahami oleh semua pegawai dan kakitangan dan dipraktikkan dalam budaya kerja kita.
“Ikrar serta janji yang dibuat ini adalah penting untuk jabatan mencapai kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan kita kepada rakyat,” katanya dalam ucapan sebelum mengetuai upacara lafaz ikrar.
Program bacaan ikrar tersebut berlangsung di Auditorium Tingkat 17, Bangunan Sultan Iskandar di sini disaksikan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) Zulhairy Zaidel.
Sementara itu, Zulhairy yang mewakili Pengarah SPRM Razim Mohd Noor berkata Ikrar Bebas Rasuah ini adalah unik dan memberi penekanan kepada ikrar serta janji yang dibuat oleh kepimpinan dan semua warga jabatan.
Dengan melafazkan ikrar ini, individu tersebut menjunjung tanggungjawab serta akauntabiliti bagi menjauhi serta menghindarkan diri daripada sebarang bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa sepanjang menjalankan tugas.
Zulhairy turut mengucapkan tahniah kepada pihak jabatan yang telah mengorak langkah bersama jabatan- jabatan serta agensi-agensi yang lain untuk melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah ini.
Langkah JPNIN Bahagian Kuching ini katanya, jelas memperlihatkan keikhlasan, komitmen kerja dan keinginan untuk berkhidmat dalam suasana kerja yang kondusif dan bebas daripada gejala rasuah.
Turut serta dalam bacaan ikrar semalam ialah Timbalan Pengarah JPNIN Sarawak Esther Dingkawan, Pegawai Perpaduan Bahagian JPNIN Bahagian Serian Hartini Kassim serta Penolong Pegawai Tadbir JPNIN Sarawak Genevieve Kumang Salang.