Peserta Projek Ladang Rakyat Kpg Naie bakal dapat dividen lebih tinggi
KOTA SAMARAHAN: Keuntungan sebanyak 90 peratus bakal dinikmati 175 peserta yang mengikuti Projek Pembangunan Ladang Rakyat Kampung Naie.
Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang yang memberitahu kadar pengagihan keuntungan itu adalah tinggi dan menguntungkan peserta projek tersebut.
“Kita amat bersyukur sekali dan berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa melihat kepentingan rakyat kerana di bawah inisiatif program pembangunan tanah yang dikategorikan sebagai Projek Ladang Rakyat banyak memberi manfaat kepada peserta yang terlibat.
“Sudah tentu di bawah inisiatif ini para peserta projek ini bakal menikmati dividen yang lebih tinggi berbanding pengurusan ladang sawit yang lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sijil Peserta Projek Pembangunan Ladang Rakyat Kampung Naie di pekarangan Surau Kampung Naie Baru di sini, semalam.
Pada masa sama, Rubiah memberitahu, projek itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada pesertanya tetapi juga membuka peluang ekonomi termasuk pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Apa jua program pembangunan tanah yang dilaksanakan kerajaan menerusi agensi kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan banyak memberi manfaat kepada pesertanya,” tambahnya.
Beliau memberitahu menerusi konsep projek itu, pembangunan ladang rakyat di kawasan tersebut lebih teratur dan terancang.
“Segala usaha yang dilakukan kerajaan ini adalah bagi memastikan kesejahteraan dan keselesaan rakyat dilaksanakan secara berterusan agar dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat,” tegasnya.
Mengulas lanjut tentang projek itu, Rubiah berkata, ia dilaksanakan di tanah seluas 254.63 hektar melibatkan 175 peserta yang mana FELCRA Berhad dilantik sebagai agensi pelaksana, manakala Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) sebagai agensi pemegang amanah.
“Kita berharap para peserta dapat memberi keyakinan penuh kepada PELITA dan FELCRA agar projek ini dapat berjalan dengan jayanya,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar peserta tidak termakan dengan dakyah palsu yang dibawa individu tidak bertanggungjawab terutamanya ketika musim pilihan raya ini.
Hadir sama Pengurus Pembangunan Peserta FELCRA Vincent John Maja, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Projek Pembangunan Ladang Rakyat Kampung Naie Shamsudin Atek dan tetamu kehormat lain.