Utusan Borneo (Sarawak)

Langkah agresif diambil untuk tembusi pasaran Jepun dan Afrika

-

PETALING JAYA: Eksport produk halal dijangka meningkat lima peratus pada tahun ini kepada RM45 bilion berbanding RM43.39 bilion tahun lepas, didorong oleh langkah yang lebih agresif diambil untuk menembusi pasaran seperti Jepun dan negara-negara Afrika.

Ketua Pegawai Eksekutif Halal Industry Developmen­t Corp (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin, berkata negara-negara Afrika menawarkan peluang yang besar berikutan ia mempunyai lebih 500 juta umat Islam dan pasaran pada dasarnya masih belum diterokai.

“Jepun, sebaliknya, sedang berusaha untuk membangunk­an industri halalnya, terutamany­a dengan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita pada majlis prapelanca­ran Minggu Halal Dunia 2018 di sini semalam.

Pengimport utama produk halal Malaysia pada 2017 adalah Singapura ( RM4.9 bilion), China (RM4.8 bilion) dan Jepun (RM2.8 bilion).

Jamil berkata HDC akan menumpukan kepada prestasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat Bumiputera untuk meningkatk­an sumbangan eksport halal mereka, yang pada masa ini kurang 10 peratus daripada jumlah eksport.

Syarikat multinasio­nal terus menguasai pasaran eksport Malaysia pada 2017 dengan RM38 bilion nilai eksport halal, manakala PKS menyumbang RM3.8 bilion dan industri desa sebanyak RM1.5 bilion, katanya.

“Di peringkat global, terdapat minat yang semakin meningkat terhadap produk halal dan industri halal pada amnya, berikutan banyak negara mula menyedari potensi industri tersebut dan sumbangann­ya kepada ekonomi.

“Ia juga ironi dengan jumlah penduduk Islam global lebih daripada 1.8 bilion, banyak minat untuk membangunk­an produk halal dan industri halal dilihat daripada negara bukan Islam, kecuali Malaysia, sedangkan majoriti negara Islam merupakan pengguna terbesar dan bukan pengeluar produk halal,” katanya.

Minggu Halal Dunia, bertemakan ‘Building for the Future’, akan terdiri daripada tiga komponen utama – Persidanga­n Halal Dunia 2018 (4-5 April), Pameran Halal Antarabang­sa Malaysia (4-7 April) dan Perhimpuna­n Halal Antarabang­sa Malaysia (26 Mac-3 April). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia