Jurang digital bandar, luar bandar sukarkan anjakan ke Industri 4.0
KUCHING: Perbezaan ketara jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar menyukarkan usaha kerajaan negeri untuk berganjak daripada Industri 2.0 kepada Industri 4.0.
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, Sarawak baharu memulakan ekonomi digital yang mana adalah sukar untuk dilakukan dan menuntut banyak kerja.
Sebab itu katanya, kerajaan menerusi kementeriannya cuba menarik penglibatan pelbagai agensi seperti IBM Corporate Service Corps (IBM CSC) untuk membantu Sarawak bagaimana bekerja ke arah ekonomi digital.
“Kami percaya dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg juga percaya dengan adanya pakar-pakar dari seluruh dunia, saya tidak fikir terdapat kekurangan pakar untuk membantu kita.
“Malah kita ( Sarawak) sedia bekerja dengan mereka dan membuka pintu kepada mereka untuk datang ke sini membantu kita,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Program IBM CSC Sarawak 2018 di Auditorium Menara Pelita, The Isthmus di sini semalam.
Turut serta dalam sidang media tersebut, Pengarah Kewarganegaraan Korporat IBM Asia Pasifik, China dan Jepun David Raper serta Pengarah Urusan IBM Malaysia Chong Chye Neo.
Tambah Manyin, dahulu Sarawak berhadapan dengan perbezaan jurang bandar dan luar bandar namun kini Sarawak berhadapan dengan satu lagi perbezaan jurang iaitu digital.
“Kita cuba untuk merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar yang mana adalah sukar tetapi saya percaya dengan bantuan semua pihak yang bekerja dengan satu hala tuju, kita dapat melakukannya menjelang tahun 2030.
“Sebab itu kabinet negeri dipimpin bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan ketua menteri sedia ada kita tidak menyasarkan status negeri termaju pada 2020 tetapi 2030 kerana banyak lagi yang perlu dilakukan,” katanya.
Bagi merapatkan jurang digital ini, Manyin berkata, kementeriannya cuba menggunakan pendidikan untuk menggalakkan golongan belia di negeri mendapatkan pendidikan terbaik.
Malah katanya, ketua menteri sedia ada telah memperuntukkan RM1 bilion bagi meningkatkan infrastruktur digital di negeri ini serta tambahan RM500 juta daripada kerajaan persekutuan.
Dalam perkembangan berkaitan, Manyin memberitahu bahawa kementeriannya menerusi Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) sedang bekerjasama dengan Cambrigde University dalam menjalankan penyelidikan berkaitan dengan sains terapeutik.
Kertas cadangan bagi kerjasama penyelidikan tersebut kini dalam peringkat penilaian akhir hasil daripada lawatan kementerian yang diketuainya untuk berjumpa dengan beberapa profesor daripada Kolej Trinity Cambridge tahun lepas.