Perkara terbaik bagi Griezmann adalah kekal di Atletico: Costa
MADRID: Diego Costa telah memberitahu rakan sepasukan Antoine Griezmann bahawa perkara terbaik bagi dirinya adalah untuk terus kekal di Atletico Madrid.
Griezmann sudah menjaringkan 23 gol dalam 38 penampilan untuk Atletico pada musim ini dan kelmarin berkata dia mahu masa depannya diselesaikan sebelum permulaan kejohanan bola sepak Piala Dunia pada tahun ini.
Penyerang Perancis itu memberitahu akhbar L’Equipe dia berharap “untuk pergi ke Rusia tanpa kebimbangan” selepas Barcelona terpaksa menafikan Januari lalu bahawa mereka telah mencapai persetujuan untuk menandatangani pemain itu.
Manchester United turut disebut mempunyai minat yang kuat pada musim panas lalu.
Bagaimanapun Costa, yang meninggalkan Atletico untuk menyertai Chelsea pada 2014 hanya untuk kembali ke kelab Sepanyol itu pada awal musim ini, percaya penyerang yang menjadi gandingannya sekarang tidak harus berganjak.
“Dia tahu kami mahukan dia, bahawa dia seorang pemain yang sangat penting. Dia masih bersama kami dan dia belum memberitahu kami bahawa dia akan pergi,” kata Costa kelmarin.
“Saya pasti gembira jika dia kekal, semua orang perlu mencari perkara terbaik bagi diri sendiri tetapi, pada pendapat saya, perkara terbaik untuknya adalah untuk kekal.”
Costa menambah, dengan senyuman: “Dia menghubungi saya setiap hari untuk meminta saya kembali ke Atletico dan sekarang dia tidak akan meninggalkan saya. Itu tidak boleh, dia akan kekal.”
Jurulatih Sepanyol Julen Lopetegui dipercayai telah meletakkan kepercayaan kepada Costa untuk menjadi penyerang utama pasukan pada musim panas ini.
Prestasi yang mantap untuk Atletico, di sisi Griezmann, termasuk tiga gol dalam tujuh penampilan terakhir Costa manakala pemain Chelsea, Alvaro Morata, seteru utamanya, tidak disenaraikan dalam skuad terbaharu Sepanyol.
Ia menandakan keadaan yang begitu berbeza sekali berbanding pada awal musim apabila Costa, yang diketepikan oleh pengurus Chelsea Antonio Conte, dibiarkan untuk membuang masa di Brazil, dan Morata memulakan kariernya dalam Liga Perdana Inggeris dengan lapan gol dalam lapan perlawanan.
“Ia sangat jelas bahawa ia bukan kesalahan saya bahawa saya berada di Brazil. Semua kita tahu apa yang berlaku di sana tetapi saya sudah kembali sekarang dan saya mahu melakukan yang terbaik,” kata Costa.
“Jurulatih (Sepanyol) sentiasa sangat jelas dengan saya iaitu jika saya tidak bermain, maka ia adalah mustahil untuk memanggil saya. Tetapi dia juga berkata jika saya bermain baik, maka pintu akan dibukakan kepada saya dan saya bersyukur kepadanya di atas perkara itu.” — AFP