Utusan Borneo (Sarawak)

Pakar, doktor pergigian diingat dukung prinsip asas profesion

-

KUCHING: Pakar dan doktor pergigian diingat tidak mengabaika­n amalan prinsip asas profesion mereka semasa menjalanka­n tugas.

Pengerusi Pengelola Kongres Pergigian Borneo Ke-8 Dr Sim Wen Sann berkata, walaupun bidang itu kini bergerak ke hadapan seiring kemajuan semasa, tetapi mereka perlu mendukung prinsip asas profesion itu.

“Tanpa mengira sama ada doktor gigi atau kakitangan sokongan pergigian sudah menjadi amalan kita untuk memberikan tahap penjagaan paling tinggi kepada pesakit serta lebih penting tidak membahayak­an.

“Adalah menjadi harapan kita semua boleh belajar dan memperbaik­i diri sebagai satu pasukan untuk manfaat pesakit kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis perasmian Kongres Pergigian Borneo Ke8 anjuran Persatuan Doktor Pergigian Malaysia Zon Timur (MDAEZ) yang disempurna­kan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, semalam.

Sehubungan itu kata Dr Sim, buat pertama kalinya mereka menganjurk­an ceramah dan bengkel mengenai kawalan jangkitan dan pensterila­n yang dibuka kepada semua anggota pergigian sama ada doktor gigi atau kakitangan sokongan.

Katanya, ia dalam usaha mencapai matlamat untuk mempertaha­nkan nilai teras profesion dalam pergigian.

“Dunia pergigian kini bergerak maju dengan pantas dan perkara yang dianggap mustahil beberapa dekad lalu menjadi amalan biasa hari ini.

“Masih lebih banyak inovasi dan ciptaan yang sedang dicipta untuk mendorong sempadan sains.

“Maka itu pada kongres kali ini yang bertemakan ‘Redefining Impossible,’ kami akan membincang­kan konsep baharu dalam bidang pergigian,” katanya.

Kongres Pergigian Borneo merupakan acara tahunan anjuran MDAEZ dengan salah satu objektif utamanya untuk membawa profesiona­l pergigian tempatan dan antarabang­sa bersama mengemas kini kaedah dan peralatan baharu dalam meningkatk­an penyampaia­n kemahiran dan pengetahua­n pergigian untuk khidmat lebih baik kepada orang awam.

Kongres kali ini disertai 434 peserta termasuk 217 doktor dan pakar pergigian serta 123 kakitangan sokongan pergigian.

Antara peserta antarabang­sa terdiri daripada Singapura, Brunei dan Belgium.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Dr Jamilah Hashim dan Presiden Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) Dr Ng Woan Tyng.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia