236 keluarga terima bantuan RM226,560 menerusi program Yayasan MyKasih
MIRI: Sebanyak 236 keluarga termasuk golongan orang kelainan upaya (OKU) di sini menerima bantuan berjumlah RM226,560 menerusi program Yayasan MyKasih.
Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin berkata, kesemua penerima akan mendapat bantuan RM80 sebulan selama satu tahun.
“Inisiatif ini merupakan usaha Yayasan MyKasih untuk membantu mereka yang memerlukan membeli barang keperluan asas sekali gus mengurangkan beban perbelanjaan bulanan,” katanya di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu memberitahu bantuan itu akan dikreditkan secara terus ke dalam MyKad wakil keluarga yang berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan.
“Penerima boleh menggunakan bantuan ini untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras, gula, roti, beras, biskut, minyak masak, telur dan sebagainya di kedai terpilih dan berlogo MyKasih,” katanya.
Inisiatif Yayasan MyKasih itu tambahnya, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memberi bantuan bersasar kepada mereka yang layak, selain mengelak berlakunya ketirisan.
Kaedah bantuan disalurkan kepada penerima adalah unik kerana ia menggunakan teknologi terkini pada MyKad selepas didaftarkan dalam sistem MyKasih.
“Penerima hanya perlu membawa MyKad untuk membeli barangan keperluan sahaja dan bertanda MyKasih di pasar raya terpilih seperti Giant Supermarket di sini,” katanya.
Lee juga memuji inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Najib Razak Club ( NRC) 11 yang berusaha mengumpul penerima yang layak untuk bantuan terbabit.
“Kita percaya lebih ramai golongan yang memerlukan akan dibantu dalam program seperti ini sekali gus meringankan beban perbelanjaan bulanan kumpulan sasar,” jelasnya.