Utusan Borneo (Sarawak)

Hospital Miri amat memerlukan pusat onkologi elak bergantung kepada HUS

-

MIRI: Hospital Miri amat memerlukan pusat onkologi untuk memenuhi keperluan rawatan pesakit kanser yang semakin bertambah.

Menteri Muda Pelanconga­n, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin berkata, ini sekali gus mengelak kebergantu­ngan terhadap pusat radioterap­i dan onkologi Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching serta mengurangk­an kos pengangkut­an.

“Kita menggesa Kementeria­n Kesihatan Malaysia memasukkan pembinaan pusat ini dalam projek menaik taraf kemudahan Hospital Miri, sekali gus menjadikan­nya pusat rawatan penting di Utara Sarawak untuk pesakit dari Miri, Limbang, Lawas, Baram serta Bintulu,” katanya di sini kelmarin.

Menurut Lee, berdasarka­n statistik jumlah pesakit kanser yang dihantar ke HUS di Kuching untuk mendapatka­n rawatan meningkat daripada 573 kes pada 2015 kepada 663 kes pada 2017.

Beliau memberitah­u sejumlah RM600,000 telah dibelanjak­an untuk tempahan tiket kapal terbang pada 2017.

Jabatan Onkologi HUS antara enam yang terdapat di seluruh negara selain di KL (dua), Johor, Sabah dan Pulau Pinang.

Hospital Miri dilaporkan merawat 12 hingga 20 pesakit kanser kanak-kanak dalam tempoh setahun.

Selain itu, mereka dilaporkan menerima kes baharu sebanyak satu hingga tiga kes pesakit tumor dalam seminggu dan seorang pesakit kanser darah dalam seminggu.

“Hari ini (kelmarin), saya mahu memahami situasi dihadapi pihak hospital, mendengar penerangan dan fakta daripada doktor pakar.

“Biro Aduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) juga menerima banyak aduan tentang perkara ini disuarakan kepada Ketua Operasinya, Erick Chin dan disampaika­n kepada saya,” jelas Lee.

Pesakit baharu didiagnos kanser perlu menemui pakar onkologi di Kuching sebelum dibenarkan melakukan rawatan susulan kemoterapi di Hospital Miri.

Pakar onkologi dari Kuching juga akan ke Miri sekali dalam dua bulan untuk menemui pesakit.

Selain tumor dan darah, kes kanser lain yang dilaporkan adalah kanser payudara dan kanser kolon.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata, Hospital Miri juga amat memerlukan perkhidmat­an pakar bedah neuro untuk menangani kes- kes melibatkan kecederaaa­n kepala dan strok.

“Pesakit perlu diterbangk­an menggunaka­n helikopter perubatan ke Kuching sekiranya ada kecemasan. Sekiranya cuaca tidak mengizinka­n, helikopter akan singgah di Sibu terlebih dahulu dan situasi ini menyukarka­n pesakit,” jelasnya.

 ??  ?? BINCANG: Lee (tengah) berbincang dengan Pengarah Hospital Miri, Dr Jack Wong (dua kanan), Erick (dua kiri) serta doktor pakar.
BINCANG: Lee (tengah) berbincang dengan Pengarah Hospital Miri, Dr Jack Wong (dua kanan), Erick (dua kiri) serta doktor pakar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia