Utusan Borneo (Sarawak)

Empat mayat dipercayai kru kapal ditemui setakat tengah hari

-

MUAR: Satu mayat wanita dan dua mayat lelaki dipercayai kru kapal korek pasir yang terbalik Rabu lepas, dijumpai menjadikan kesemuanya empat mayat sudah ditemui, setakat tengah hari semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata mayat wanita itu ditemui dalam kabin kapal tersebut manakala dua mayat lelaki berkenaan dijumpai di luar kapal berkenaan.

“Mayat wanita itu berkemungk­inan besar warga China, tetapi dua mayat lelaki, kita kena tunggu proses pengecaman untuk mengetahui identiti,” katanya kepada pemberita di lokasi Pos Kawalan SAR Pantai Leka di sini semalam.

Sanifah berkata mayat wanita itu ditemui dalam keadaan terapung kira-kira jam 11 pagi semalam, sementara satu mayat lelaki dijumpai di perairan Parit Haji Baki, kira-kira enam batu dari Parit Jawa sekitar 12 tengah hari semalam, manakala satu lagi mayat lelaki ditemui pada jam 8.15 malam kelmarin, kira- kira dua batu dari Tanjung Tohor.

Sebelum ini, satu mayat lelaki sudah dijumpai pada hari kejadian (Rabu).

Sehingga kini, operasi SAR berjaya menjumpai lima mangsa yang selamat dan empat mayat, dengan dua yang meninggal dunia masih belum dikenal pasti kerana ditemui di luar kapal tersebut.

Operasi mencari dan menyelamat kru kapal korek pasir JBB Rong Chang 8 yang terbalik itu kini diperluas ke 190 batu nautika dari lokasi kapal itu terbalik.

Operasi SAR yang masuk hari keempat semalam melibatkan 70 penyelam yang bertugas secara bergilir melibatkan Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan penyelam profesiona­l yang diupah syarikat kapal itu.

Operasi SAR dilakukan 24 jam secara berterusan dengan operasi mencari dalam kapal mencapai 90 peratus selain melibatkan pencarian di atas permukaan air dan helikopter yang memantau sekitar lokasi kapal.

“Kita sentiasa percaya mereka masih boleh diselamatk­an dan kita akan terus memperluas­kan kawasan pencarian disebabkan beberapa mayat dijumpai di luar kapal,” katanya ketika ditanya kebarangka­lian mangsa yang masih hilang ditemui selamat.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Muar Dr Noorhaida Ujang berkata dua mangsa yang dijumpai kelmarin, kini ditempatka­n di wad biasa.

“Kedua mangsa semalam (kelmarin) tidak mengalami sebarang kecederaan cuma berada dalam keadaan lemah kerana tidak makan,” katanya.

Sementara itu, lima mangsa lelaki yang ditemui selamat dikenali sebagai Liang Puzeng, Jiang Chunlin, Liu Konggan, Liang Rongbin dan Wu Liangfu.

Dalam kejadian 7.50 pagi pada Rabu itu, 14 kru kapal korek tersebut dilaporkan terperangk­ap manakala empat dapat dikeluarka­n pasukan SAR dengan seorang daripadany­a ditemui lemas. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia