Utusan Borneo (Sarawak)

Jelajah Pendidikan Bumiputera diperluas ke Sarawak tahun ini

-

BAGAN DATUK: Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) pada tahun ini akan memasukkan Sarawak sebagai lokasi terbaharu dalam siri jelajah tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sejak dilaksanak­an pada 2016, program JPB telah menjelajah sehingga ke seluruh Semenanjun­g dan Sabah untuk membantu pelajar Melayu dan Bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutka­n pengajian ke institusi pendidikan serta kemahiran tinggi termasuk universiti awam.

Katanya ia merupakan langkah untuk mewujudkan peningkata­n status sosial kepada anak- anak muda, sekali gus memperting­katkan pendapatan isi rumah merangkumi kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar.

“Ia merupakan kombinasi daya usaha pihak kerajaan dengan badan NGO (pertubuhan bukan kerajaan), Institusi Pengajian Tinggi Awam dan swasta serta pihak swasta kerana kita harus menerobos keluar daripada kepompong ‘ silo jumud’ apabila kita mahu menjadi negara maju dan perlu melangkah sederap,” katanya ketika berucap merasmikan majlis JPB 2018 di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk di sini semalam.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap menteri mentor JPB dan Pengerusi Jawatankua­sa Induk JPB Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Kira- kira 5,000 pelajar lepasan SPM dari sekitar Bagan Datuk, Teluk Intan, dan Sabak Bernam mengunjung­i lokasi pertama siri penjelajah­an 2018 itu.

Sebanyak 32 lokasi melibatkan 92 kawasan Parlimen dipilih pada JPB 2018 dalam melaksanak­an misi mencari, mengenal, membantu masyarakat Melayu dan Bumiputera bagi meneruskan pengajian mereka ke peringkat tertinggi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut menegaskan jelajah JPB 2018 bukanlah langkah kempen politik bagi pilihan raya umum yang semakin dekat oleh kerana ia telah bermula sejak 2016 selaku agenda untuk mewujudkan mobiliti sosial secara vertikal kepada anak-anak muda di seluruh negara.

Justeru Ahmad Zahid meminta pihak jawatankua­sa JBP 2018 mencapai sasaran 65,000 pelajar Melayu dan Bumiputera lepasan SPM untuk dimasukkan ke 37 institusi pendidikan dan kemahiran tinggi serta universiti awam yang menyertai jelajah ke seluruh negara itu.

Beliau turut mengumumka­n peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi membantu pelaksanaa­n JPB 2018 dalam usaha meramaikan lagi anakanak Melayu dan Bumiputera diberi peluang melangkah ke menara gading.

Sejak diperkenal­kan pada 2016, JPB telah memberi memberi peluang kedua kepada 98,534 pelajar melanjutka­n sijil, diploma, dan ijazah dalam bidang akademik dan teknikal dan vokasional TVET di negara ini. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? DEKATI RAKYAT: Ahmad Zahid menjual daging beku kepada para pelanggan pada Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Bagan Datuk di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk dekat Bagan Datuk, semalam.
— Gambar Bernama DEKATI RAKYAT: Ahmad Zahid menjual daging beku kepada para pelanggan pada Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Bagan Datuk di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk dekat Bagan Datuk, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia