Utusan Borneo (Sarawak)

KEPANTASAN WANITA SELAMATKAN 20 PENGHUNI DALAM KEBAKARAN

-

MIRI: Kepantasan seorang wanita yang terhidu bau asap dari sebuah bilik berjaya menyelamat­kan 20 penghuni dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Riam Jaya di sini, malam kelmarin.

Dayang Nohanani, 39, berkata sebelum kejadian beliau sedang mengemas rumah di tingkat atas.

“Sejurus itu, saya terhidu bau asap lalu pergi memeriksa dan mendapati api sedang membakar sebuah bilik.

“Tanpa berlengah saya terus menjerit untuk memberitah­u penghuni lain yang berada di tingkat bawah dan kami segera keluar dari rumah untuk menyelamat­kan diri,” ujarnya ketika ditemui pemberita semasa kejadian itu.

Difahamkan, penghuni rumah turut cuba memadamkan kebakaran, namun gagal.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, seramai 20 penghuni berada di rumah terbabit, kesemua mereka dilaporkan selamat.

Difahamkan, rumah tersebut didiami 32 orang daripada tujuh keluarga, namun sebilangan mereka tiada di rumah semasa kejadian kerana pergi ke Bekenu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba I (PgKB I) Law Poh Kiong berkata, kebakaran tersebut menyebabka­n rumah dua tingkat jenis separuh kekal dengan anggaran 40 kaki x 40 kaki dan sebuah kenderaan musnah sepenuhnya.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 7.47 malam.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri telah ditugaskan bagi operasi pemadaman dibantu anggota dari BBP Lopeng,” katanya.

Law berkata, api berjaya dikawal kira-kira jam 8.30 malam dan operasi pemadaman tamat pada jam 9.23 malam.

Kesemua mangsa yang terjejas kini ditempatka­n sementara di Surau Darul Mukmin, Kampung Riam Jaya.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia