Utusan Borneo (Sarawak)

Indeks jenayah Sarawak catat penurunan 12 peratus

Penurunan adalah bagi tempoh 1 Januari hingga 22 Mac tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu

- Oleh Marlinda Mardzuki

KUCHING: Indeks jenayah Sarawak mencatat penurunan sebanyak 12 peratus dalam tempoh 1 Januari hingga 22 Mac tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Pesuruhaya Polis Sarawak Datuk Pahlawan Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, penurunan itu membabitka­n kes-kes berkaitan jenayah kekerasan, harta benda dan narkotik.

“Bagi 1 Januari hingga 22 Mac tahun ini, sebanyak 1,285 kes jenayah dilaporkan berbanding 1,466 kes pada tempoh yang sama tahun 2017.

“Perbanding­an ini menunjukka­n penurunan sebanyak 181 kes atau 12 peratus,” katanya sambil menambah, keadaan jenayah di negeri ini berada pada tahap terkawal.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurn­akan perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-211 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenai jenayah kekerasan, Mohd Dzuraidi berkata, ia dilaporkan menurun sebanyak satu peratus di mana 202 kes telah dilaporkan pada 1 Januari hingga 22 Mac berbanding 203 kes pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Bagaimanap­un, terdapat peningkata­n dalam beberapa kategori jenayah kekerasan iaitu samun berkawan tanpa senjata api sebanyak lima kes, bunuh (tiga kes), samun tanpa senjata api (dua kes) dan samun berkawan bersenjata api (dua kes).

“Manakala bagi kes yang menurun adalah cedera parah sebanyak empat kes dan rogol sembilan kes,” jelasnya.

Bagi jenayah harta benda pula katanya, semua kategori kesalahan jenayah itu mencatat penurunan sebanyak 14 peratus iaitu 1,083 kes bagi 1 Januari hingga 22 Mac tahun ini berbanding 1,263 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Sementara itu, mengikut laporan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sarawak, beliau berkata sebanyak 135 tangkapan dengan 75 kes untuk kategori bekalan dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Mac tahun 2018 berbanding 122 tangkapan dengan 88 kes pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Berdasarka­n laporan itu, jenayah narkotik bagi kategori bekalan menunjukka­n peningkata­n sebanyak 10.66 peratus untuk tempoh Januari hingga Mac 2018 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Sementara kategori kes memiliki dan kategori kes positif urin menunjukka­n penurunan di mana 356 tangkapan dengan 249 kes (kategori kes memiliki dadah) dilaporkan bagi Januari hingga Mac tahun ini berbanding 562 tangkapan dengan 433 kes tahun lalu manakala 716 tangkapan dan kes (kategori kes positif urin) dilaporkan bagi Januari hingga Mac tahun ini berbanding 1,292 tangkapan dan kes pada tempoh yang sama tahun lalu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Dzuraidi berkata, sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-211, pelbagai program dan aktiviti dengan melibatkan masyarakat akan diadakan mulai bulan Mac hingga Mei tahun ini oleh IPK Sarawak.

“Antara program yang akan kita rancangkan termasuk majlis tahlil dan solat Maghrib dan Isyak, program derma darah, gotong-royong dan banyak lagi dengan harapan ia dapat menghangat­kan suasana sambutan Peringatan Hari Polis tahun ini,” ujarnya.

Bagi 1 Januari hingga 22 Mac tahun ini, sebanyak 1,285 kes jenayah dilaporkan berbanding 1,466 kes pada tempoh yang sama tahun 2017. Datuk Pahlawan Mohd Dzuraidi Ibrahim Timbalan Pesuruhaya Polis Sarawak

 ??  ?? SEGAK: Mohd Dzuraidi memeriksa perbarisan sempena Peringatan Hari Polis Ke-211 di IPK Sarawak di Kuching, semalam.
SEGAK: Mohd Dzuraidi memeriksa perbarisan sempena Peringatan Hari Polis Ke-211 di IPK Sarawak di Kuching, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia