Utusan Borneo (Sarawak)

Usaha Jabatan Veterinar Bahagian Miri lancar Program Vaksinasi Rabies di bahagian ini dipuji

- Oleh W. Bolly Ongie

MARUDI: Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil memuji usaha Jabatan Veterinar Bahagian Miri melancarka­n Program Vaksinasi Rabies secara besar-besaran ke setiap pelosok bahagian ini.

Beliau berkata program vaksinasi itu merupakan peluang terbaik bagi orang ramai membantera­s penularan wabak rabies atau penyakit anjing gila daripada terus merebak.

“Kita difahamkan penyakit ini tidak ada ubatnya tetapi yang terbaik ialah membawa haiwan peliharaan seperti anjing, kucing mahupun monyet ke kaunter disediakan untuk suntikan vaksin rabies,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Vaksinasi Rabies Peringkat Daerah Marudi di Dewan Suarah Baram di sini.

Turut diadakan ceramah mengenai wabak berkenaan dan langkah-langkah pencegahan bagi haiwan peliharaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Marudi itu merayu orang awam menyimpan notis mengenai simpton-simpton rabies dan program vaksinasi agar sentiasa peka keadaan sekeliling dan perubahan bukan sahaja kepada manusia tetapi haiwan peliharaan mereka.

“Kita berharap orang ramai bertanggun­gjawab dengan program vaksinasi dan meminta mereka agar membawa anjing mendapatka­n suntikan vaksin.

“Bagi mereka yang belum berbuat demikian, pastikan membawa anjing atau haiwan peliharaan masing- masing mendapatka­n vaksinasi sepanjang program ini diadakan bagi tahun ini untuk bahagian Miri,” katanya.

Program tersebut bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang dan lebih 40 anjing telah didaftar mengambil lesen dan seterusnya diberi vaksin rabies.

Hadir sama Pegawai Daerah Marudi Mackos Sibong, Pengerusi Majlis Daerah Marudi ( MDM) Edward Mendai, Pemangku Pegawai Veterinar Miri Zulkifli Stephen Lakoi serta ketuaketua masyarakat.

 ??  ?? TINJAU: Penguang meninjau kaunter permohonan lesen anjing.
TINJAU: Penguang meninjau kaunter permohonan lesen anjing.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia