Utusan Borneo (Sarawak)

Smyth pukau penonton pada penampilan sulung dengan jaringan gol kemenangan

-

BELFAST: Paul Smyth menjadi wira Ireland Utara selepas dia dimasukkan sebagai pemain gantian apabila dia menandakan penampilan sulungnya pada peringkat antarabang­sa dengan gol kemenangan dalam perlawanan menentang Korea Selatan di Belfast kelmarin.

Hanya enam minit berbaki sebelum perlawanan persahabat­an itu berakhir apabila penyerang berusia 20 tahun kelab Queens Park Rangers itu dimasukkan oleh pengurus Ireland Utara Michael O’Neill dan dia hanya menunggu selama dua minit sahaja untuk menjaringk­an gol.

Conor Washington mengatasi seorang pemain pertahanan dan Smyth mengawal bola sebelum dia masuk ke dalam kawasan penalti dan kemudian menghasilk­an penyudah tenang yang tidak memberi peluang kepada penjaga gol Korea Selatan Kim Seung-Gyu, yang menggembir­akan penyokong di Windsor Park.

Korea Selatan mendominas­i permainan pada babak kedua tetapi, apa yang signifikan, mereka tidak dapat menambah jaringan selepas 45 minit pertama berakhir 1-1, dengan jaringan awal Kwon Chang- Hoon dipadamkan oleh jaringan sendiri Kim Min-Jae.

Gol Smyth melengkapk­an tempoh beberapa hari yang tidak dapat dilupakan bagi penyerang itu kerana, tidak sampai 48 jam sebelum itu, dia telah bermain untuk pasukan Ireland Utara Bawah 21 dalam kekalahan 5-3 kepada Sepanyol.

“Saya cuma tanya dia sama ada dia dapat bermain selama 10 minit lagi kerana dia sudah bermain selama 90 minit pada malam sebelum itu,” kata O’Neill apabila ditanya tentang arahan yang dia telah berikan kepada Smyth ketika pemain itu dimasukkan.

“Saya memberitah­u dia untuk keluar dan berseronok. Dia amat menyukainy­a, kita dapat lihat. Semangatny­a untuk sukan ini dapat dirasai, para pemain amat menyukainy­a, dia mengenali semua pemain kerana dia menghabisk­an kira-kira 40 hari bersama mereka di Perancis (di Euro 2016).”

Jurulatih Korea Selatan Shin Tae- Yong tidak begitu tahu tentang kehebatan Smyth sebelum perlawanan.

“Saya perlu mengakui bahawa kami tidak ada banyak maklumat tentang pemain ini,” katanya.

Korea Selatan memulakan kempen mereka pada 18 Jun dengan perlawanan menentang Sweden sebelum perlawanan seterusnya menentang Jerman dan Mexico dalam Kumpulan F.

O’Neill, yang menolak tawaran dari Scotland untuk terus kekal menjadi pengurus Ireland Utara, memberi penampilan sulung pada peringkat antarabang­sa kepada penjaga gol Motherwell, Trevor Carson dan pemain pertahanan Norwich, Jamal Lewis.

Korea Selatan menurunkan kedua-dua bintang mereka yang bermain dalam Liga Perdana Inggeris – penyerang Tottenham Hotspur Son Heung-Min dan pemain tengah Swansea Ki Sung-Yeung.

Pasukan pelawat hanya menunggu tujuh minit sahaja untuk membuka jaringan.

Park Joo-Ho melepasi pertahanan tuan rumah dengan bola tinggi dan Kwon ChangHoon menggunaka­n satu sentuhan untuk mengawal bola sebelum dia merembat bola melepasi Carson.

Bagaimanap­un Ireland Utara menyamakan kedudukan pada minit ke-21.

Daripada tendangan percuma dari jarak 25 ela, Oliver Norwood, yang tidak merembat terus ke arah gol, menolak bola ke tepi benteng pertahanan kepada Jamie Ward, yang melakukan hantaran lintang yang kuat sehingga menyebabka­n bola tertolak masuk ke dalam gawang sendiri oleh pemain pertahanan Kim Min-Jae. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia