Utusan Borneo (Sarawak)

Bursa Malaysia diniagakan lebih rendah

Tekanan jualan akibat dasar perlindung­an AS dijangka berterusan dalam masa terdekat

-

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka diniagakan lebih rendah minggu ini ketika pasaran terus bertindak balas terhadap dasar perlindung­an perdaganga­n Amerika Syarikat (AS).

Naib Presiden dan Ketua Penyelidik­an Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, tekanan jualan yang disebabkan tindakan AS tersebut dijangka berterusan dalam jangka terdekat dan akan menjejaska­n bukan sahaja pasaran saham Malaysia, tetapi negara serantau, Eropah dan AS.

“Akan ada lebih ban- yak tekanan jualan dalam tempoh terdekat. Pasaran akan mengalami penurunan sedikit pada minggu depan (minggu ini),” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, paras sokongan untuk minggu ini ialah pada 1,850 manakala paras rintangan ditetapkan pada 1,880.

Presiden AS, Donald Trump menandatan­gani memorandum presiden pada Khamis yang akan mengenakan tarif hingga AS$60 bilion setahun ke atas import dari China dan sekatan yang bertujuan mencegah syarikat dan dana yang dikuasai China untuk mengambil alih firma dengan teknologi sensitif AS.

Nazri Khan, bagaimanap­un, optimis yang ketegangan geopolitik yang disebabkan tindakan AS itu hanya sementara dan rundingan diplomatik akan berlaku antara AS dan China.

“Mengimbas kembali ketegangan geopolitik, ia biasanya bersifat sementara. Perang perdaganga­n global biasanya hanya sementara dan retorik. Saya pasti akan ada rundingan diplomatik,” katanya.

Beliau berkata, kejatuhan pasaran ekuiti minggu ini akan memberi peluang kepada pelabur membeli pada harga rendah.

Nazri Khan berkata, asas pasaran kekal utuh dengan harga komoditi terus meningkat dan petunjuk ekonomi masih menunjukka­n tanda positif.

“Ekonomi global sedang meningkat, keluaran dalam negara kasar kita bertambah dan rizab antarabang­sa kukuh. Komoditi juga masih kukuh. Minyak mentah, emas dan minyak sawit mentah juga kukuh. Jadi, saya fikir ia tidaklah teruk sangat,” tambahnya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI adalah 19.16 mata lebih tinggi kepada 1,865.55 daripada 1,846.39 sebelumnya.

Indeks Emas FBM naik 27.02 mata kepada 13,060.66 dan Indeks FBMT100 meningkat 62.45 mata kepada 12,844.52 tetapi Indeks Syariah Emas FBM turun 21.35 mata kepada 13,198.82.

FBM 70 jatuh 154.56 mata kepada 15,538.93 dan FBM Ace susut 243.09 mata kepada 5,681.92.

Dari segi sektor, Indeks Perindustr­ian merosot 30.31 mata kepada 3,240.42 manakala Indeks Kewangan melonjak 170.85 mata kepada 18,209.03 dan Indeks Perladanga­n menokok 92.2 mata kepada 8,048.7.

Jumlah dagangan ming- guan jatuh kepada 10.62 bilion unit bernilai RM10.41 bilion daripada 12.44 bilion unit bernilai RM13.19 bilion.

Jumlah dagangan di pasaran utama merosot kepada 6.98 bilion saham bernilai RM9.8 bilion daripada 8.12 bilion saham bernilai RM12.49 bilion.

Perolehan waran susut kepada 1.63 bilion unit bernilai RM296.74 juta berbanding 1.88 bilion unit bernilai RM274.1 juta.

Pasaran ACE menguncup kepada 1.97 bilion saham bernilai RM309.88 juta daripada 2.4 bilion saham bernilai RM419.23 juta. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia