Ia bagi memacu pembangunan kesenian dan kebudayaan Sarawak ke mata dunia: Ketua Menteri
KUCHING: Kerajaan negeri akan memajukan industri kreatif bagi memacu pembangunan kesenian dan kebudayaan Sarawak ke mata dunia.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata, untuk itu Sarawak bakal mempunyai saluran yang khusus bagi mengetengahkan kekayaan kesenian dan kebudayaan rakyat negeri ini.
“Satu perkara yang saya hendak maklumkan bahawa kita sememangnya ada dasar untuk memajukan industri kreatif tetapi saya tidak dapat umumkan sekarang, tunggu bulan September nanti saya umumkan, ini perkara yang sangat baik untuk Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Persembahan Khas Kelab Peminat P.Ramlee Sarawak bertemakan ‘Menyusuri Jalan Kenangan’ di Dewan Undangan Negeri lama di sini malam kelmarin.
“Suatu ketika nanti apabila kita sudah mempunyai saluran ini, kita dapat mengetengahkan kekayaan khazanah kesenian kita di Sarawak,” tambah Abang Johari.
Menurutnya, menerusi saluran itu juga masyarakat dunia dapat menyelami keunikan khazanah, kese-
Satu perkara yang saya hendak maklumkan bahawa kita sememangnya ada dasar untuk memajukan industri kreatif tetapi saya tidak dapat umumkan sekarang, tunggu bulan September nanti saya umumkan, ini perkara yang sangat baik untuk Sarawak. Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg Ketua Menteri
nian dan kebudayaan rakyat Sarawak.
“Melalui satu saluran ini, saya rasa ia bukan sahaja dapat menyelami kita tetapi sudah tentu dapat kita perbesarkan ke tempat lain,” tegasnya.
Menyentuh tentang resolusi Kongres Seni Sarawak yang diserahkan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Hazami Jahari, Abang Johari berkata, pihak konsultan untuk melaksanakan projek pembangunan Pusat Seni Persembahan Negeri telah dilantik.
Beliau memberitahu, kini pihak konsultan sedang dalam proses mereka bentuk bangunan.
“Menyentuh tentang resolusi kongres berkaitan saranan agar pembinaan panggung seni disegerakan, sebenarnya konsultan telah dilantik dan mereka sekarang sedang merancang reka bentuk bangunan panggung seni negeri.
“Sudah ada dalam perancangan kita iaitu untuk menggunakan bangunan (Dewan Undangan Negeri lama) dengan tambahan bangunan baharu untuk satu panggung khas yang dilengkapi dengan kemudahan berteknologi dan Internet, inilah dalam perancangan kita,” katanya.
Pada masa sama beliau berkata kerajaan negeri turut merancang menambah baik pusat latihan kesenian sedia ada.
Jelasnya, ia untuk dijadikan tempat bagi melatih generasi muda dalam mendalami ilmu kesenian sekali gus dapat mempersembahkan seni budaya rakyat Sarawak ke serata dunia.
“Dan akhir sekali, kami daripada pihak kerajaan akan meneliti dan seterusnya membuat keputusan tentang resolusi yang dikemukakan ini bagi kita bersama-sama memantapkan kesenian kita yang ada di Sarawak,” ujarnya.
Hadir sama isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing, Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri Datin Zuraini Abdul Jabar.
Turut sama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, Presiden Kelab Peminat P.Ramlee Sarawak Datu Adi Badiozaman Tuah dan barisan menteri kabinet negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri serta tetamu kehormat lain.