Kos dalamkan dasar terusan LPM cuma enam peratus kos LRT
MIRI: Parti Tindakan Demokratik ( DAP) menganggarkan kos pelaksanaan kerja- kerja mendalamkan dasar terusan Lembaga Pelabuhan Miri (LPM) di Kuala Baram hanya enam peratus daripada kos projek LRT di Kuching.
Perkara itu dijelaskan ADUN Pujut Dr Ting Tiong Choon yang melihat kepada kepentingan LPM kepada pembangunan ekonomi di bahagian utara Sarawak merangkumi Miri, Limbang dan Lawas.
“Projek untuk mendalamkan terusan Kuala Baram sedalam lapan meter untuk laluan kapal- kapal besar ke Pelabuhan Miri hanya melibatkan kos RM679 juta,” jelas beliau kepada pemberita semalam.
Ting mendakwa bahawa kerajaan negeri mampu melaksanakan projek tersebut melihat kepada keupayaannya untuk membangunkan projek LRT di Kuching dengan kos RM10.8 bilion.
Ting turut teruja dengan projek LRT yang akan memberi manfaat kepada 908,400 penduduk di Kuching.
“Ini menunjukkan kerajaan negeri memiliki dana untuk pembangunan infrastruktur.
“Projek ini amat baik untuk penduduk dan pelancong di Kuching,” jelasnya.
Oleh kerana masalah terusan cetek, banyak kapal besar tidak dapat berlabuh dan menggunakan sepenuhnya perkhidmatan di LPM, sekali gus memberi kesan terhadap pembangunan industri dan ekonomi di Kuala Baram.
Beliau memberitahu, pengguna pelabuhan beralih ke Pelabuhan Bintulu dan Samalaju kerana tidak mahu menanggung kos tambahan penghantaran dari laut ke pelabuhan.
“Sekarang kita memiliki Bank Pembangunan Sarawak dan sudah tiba masanya kita melaksanakan projek mendalamkan terusan di Pelabuhan Miri.
“Jumlahnya cuma enam peratus daripada kos LRT Kuching,” jelas Ting.
Ting mahu kerajaan negeri melihat dan merancang pembangunan infrastruktur secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada ibu negeri.
Beliau berharap lebih banyak projek kemudahan infrastruktur dan pengangkutan dilaksanakan di bahagian lain demi manfaat semua rakyat.