Persatuan Diabetes Cawangan Miri menganjurkan tiga program
MIRI: Persatuan Diabetes Cawangan Miri menganjurkan tiga program termasuk dua aktiviti amal dan satu persidangan pada Julai nanti bagi mengumpul dana untuk menganjurkan kem diabetes peringkat kebangsaan pada Ogos di sini.
Pengerusinya Ting Chiew Moi berkata aktiviti itu merupakan usaha berterusan persatuan meningkatkan tahap kesedaran orang awam mengenai diabetes.
“Dua acara amal ialah Pertandingan Menyanyi Melodi Emas dan majlis makan malam diadakan pada 13 dan 14 Julai di Bintang Megamall dan Meritz Hotel Miri.
“Pertandingan nyanyian terbuka kepada semua berusia 36 tahun ke atas dan terbahagi kepada kategori lelaki dan wanita,” katanya pada sidang media di sini.
Johan, naib johan dan tempat ketiga untuk setiap kategori bakal membawa pulang wang tunai masingmasing RM200, RM120 dan RM80.
Hadir sama Pengurus Besar Meritz Hotel dan Bintang Megamall John Teo dan ahli jawatankuasa penganjur.
Ting berkata selain itu juara keseluruhan menerima wang tunai RM800 dan membuat persembahan pada majlis makan malam, 14 Julai bersama penyanyi sensasi dan artis rakaman Malaysia - Stepen Seah dan penyanyi Taiwan Michelle Hsieh.
Yuran penyertaan untuk pertandingan RM80 dan semua peserta (20 lelaki dan 20 wanita) layak menghadiri makan malam. Sementara itu, tiket dijual dengan harga RM100 dan RM200 setiap satu.
“Kami menyasarkan kutipan kira- kira RM40,000 untuk menjayakan kem itu. Justeru, kami amat berharap orang awam dapat menyokong dengan membeli tiket,” kata Ting.
Tarikh tutup pertandingan pada 31 Mei manakala tiket makan malam boleh dibeli pada atau sebelum 15 Jun.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Ting di talian 012-8763980 atau Teo Kee Hoe (016-8886365).
Sementara itu, persidangan diabetes Borneo yang pertama akan diadakan pada 13 hingga 15 Julai di Meritz Hotel Miri.
Ia dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Diabetes Malaysia, Hospital Miri, Pejabat Kesihatan Bahagian Miri dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan terbuka kepada semua peserta dari Brunei, Indonesia selain Malaysia.
“Kira- kira 200 peserta termasuk pegawai kesihatan dalam dan luar negara dijangka menyertai persidangan itu. Penceramah kebangsaan dan antarabangsa yang mahir dalam bidang berkaitan turut dijemput,” katanya.