IPay88 lancar Akaun Maya bagi komuniti tanpa akaun bank
KUALA LUMPUR: iPay88 Holding Sdn Bhd, penyedia penyelesaian bayaran dalam talian, melancarkan Akaun Maya, penyelesaian pembayaran bagi masyarakat Malaysia yang tidak mempunyai akaun bank atau kad kredit dan perlu berurusan di luar sistem perbankan untuk memenuhi keperluan kewangan mereka.
Dalam kenyataan semalam, Pengarah Eksekutif, Chan Kok Long berkata komuniti itu merupakan cabaran dalam merealisasikan aspirasi negara ke arah masyarakat tanpa tunai
“Kita tidak boleh berbangga dalam usaha mencapai masyarakat tanpa tunai jika masih wujud kumpulan yang tidak mempunyai akaun bank.
“iPay88 mahu berusaha menyelesaikan masalah tersebut, oleh itu kami membangunkan Akaun Maya sebagai satu penyelesaian untuk membolehkan mereka menyertai pemerolehan produk dan perkhidmatan dalam talian,” katanya.
Akaun Maya merupakan aplikasi pembayaran dalam talian yang mudah, membolehkan individu tanpa akaun bank, akses perbankan dalam talian atau kad kredit belibelah dalam talian.
iPay88 berkata, mereka hanya memerlukan sambungan Internet untuk membuat tempahan produk atau perkhidmatan di mana-mana laman web e-dagang, peniaga atau platform pasaran.
Pelanggan tanpa akaun bank atau akses perbankan dalam talian atau kad kredit perlu memilih ‘Virtual Account’ di halaman pembayaran, dan mereka akan menerima nombor akaun bank maya 14 digit yang boleh die-melkan atau dihantar menerusi telefon bimbit mereka.
Pelanggan kemudian hanya perlu menggunakan nombor akaun bank maya itu untuk mendepositkan pembayaran tunai di mana-mana cawangan bank atau kira-kira 4,340 mesin juruwang automatik di mana-mana bank di seluruh negara untuk menyelesaikan pembelian dalam talian tersebut. — Bernama