KKMM salur RM200 juta untuk Pelan Induk Digital Johor 4.0
ISKANDAR PUTERI: Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membantu menyediakan Pelan Induk Digital Johor 4.0 melalui peruntukan sebanyak RM200 juta.
Menterinya Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata inisiatif itu bertujuan mentransformasi Johor sebagai sebuah negeri pintar selain memacu perkembangan ekonomi digital negeri ini.
Melalui inisiatif itu, kerajaan pusat dengan kerjasama kerajaan negeri akan dapat memperkasa industri tempatan seperti pertanian, penternakan dan perikanan untuk meningkatkan daya saing penggiat industri berkenaanbukan sahaja dalam pasaran tempatan tetapi juga antarabangsa.
“Berpandukan Pelan Induk Digital Johor 4.0 itu nanti, SKMM akan dapat memainkan peranan dalam melaksanakan pelan tersebut.
Ini sama seperti kerjasama kita dalam melaksanakan Program Transformasi Nasional dan untuk itu sebanyak RM200 juta peruntukan akan disediakan.
“Saya melihat inisiatif ini baik untuk Johor kerana ia merangkumi pelbagai sektor termasuk sektor komunikasi yang semakin berkembang dengan peningkatan kualiti perkhidmatan dapat ditawarkan kepada pengguna,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Johor 4.0 : Mendigital Bangsa Johor, di sini semalam.
Turut berangkat ke majlis itu, Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim merangkap Pengerusi REDtone International Berhad dan hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Salleh berkata inisiatif itu juga akan dapat merancak dan mengembangkan lagi ekonomi digital selain membantu meningkatkan capaian Internet ke seluruh negeri Johor terutama di kawasan pedalaman.
“Pada hari ini, kita boleh melihat kemunculan pelbagai laman beli-belah dalam talian di mana urus niaga melalui Internet dianggarkan bernilai berbilion ringgit. Ini yang kita mahukan, supaya industri tradisional diperkasa selain kita menggalakkan pertumbuhan industri baharu.
“Pengenalan inisiatif ini juga selari dengan pembangunan projek-projek berimpak tinggi di Johor seperti Rapid Pengerang dan Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) dan tentunya akan meluaskan lagi percambahan ekonomi digital negeri ini,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa sehingga Februari tahun ini, sebanyak 83.6 peratus pengguna telefon bimbit di Johor mendapat liputan LTE atau 4G yang menjadikan Johor negeri kedua tertinggi mempunyai kadar penembusan jalur lebar.
“Yang pertama adalah Kuala Lumpur, jadi Johor tidak jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain,” katanya.
Menurutnya lagi, pada ketika ini, syarikat-syarikat telekomunikasi juga sedang menaik taraf menara-menara telekomunikasi di Johor daripada rangkaian 2G kepada rangkaian 3G dan LTE.
“Sebanyak 372 menara komunikasi di Johor kini telah dinaik taraf dan 153 lagi akan juga dinaik taraf kepada rangkaian 3G dan LTE. Apabila ia siap, akan terdapat sebanyak 525 buah menara komunikasi di Johor.
“Bagi menggalakkan ekonomi digital, sebanyak 85 Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) telah pun beroperasi dalam negeri Johor dengan dua buah lagi sedang dalam pembinaan. Dengan adanya PI1M ini kita akan dapat membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk menjalankan perniagaan dalam talian,” kata Salleh. — Bernama