Suspek curi motosikal direman dua hari
MIRI: Seorang lelaki yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam satu kes curi motosikal diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman dua hari untuk membantu siasatan lanjut polis.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Sarjan Karam Singh Karnal Singh dari Balai Polis Pusat Miri.
Dalam permohonannya, Karam memberitahu seorang lelaki telah membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri berhubung kehilangan sebuah motosikal.
Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 6.50 petang, 7 Mac lalu, semasa balik dari kerja, beliau dapati motosikal milik kakak ipar yang digunakannya dan diletakkan di tepi sebuah premis telekomunikasi di Pusat Komersil Boulevard di sini dalam keadaan berkunci telah hilang dipercayai dicuri.
Kerugian dianggarkan lebih RM4,000.
Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 12.30 tengah hari 8 April lalu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri telah berjaya menahan seorang lelaki di tepi Jalan Kwangtung di sini kerana disyaki terlibat dalam kes itu.
Berikutan tangkapan itu, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat lanjut.
Dalam permohonan lanjutnya, Karam memberitahu reman selama empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 41 tahun dari Piasau Jaya di sini amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.
Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk mengesan barang kes dan membebaskan suspek lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.
Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman dua hari ke atas suspek dan tempoh reman akan tamat pada 11 April ini.