LAHIR PEMAIN GOLF KE PENTAS DUNIA
Abdul Karim menyokong saranan agar Kelab Golf Petra Jaya dijadikan akademi golf remaja
KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyokong saranan agar Kelab Golf Petra Jaya dijadikan akademi golf remaja.
Menurutnya, saranan tersebut dilihat sangat bertepatan dalam usaha Sarawak untuk melahirkan pemain-pemain golf yang mampu menyinar sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Kita semakin kekurangan ‘driving range’ di Kuching. Ketika ini hanya Kelab Golf Sarawak mempunyai fasiliti itu untuk peminat golf menjalani latihan.
“Kalau tiada ‘driving range’ agak sukar peminat menjalani latihan. Kerana itu saya melihat akademi ini boleh digunakan bagi melahirkan pemain-pemain golf baharu,” katanya mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun abang Openg pada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Trofi Cabaran Golf Parlimen Petra Jaya di sini kelmarin.
Abdul Karim menambah, pembinaan akademi golf di kelab itu juga dapat membantu mengekalkan ‘kehijauan’ di kawasan tersebut agak terbiar ketika ini.
Malah, beliau percaya Ketua Menteri amat menyokong saranan itu dalam usaha membangunkan industri sukan dan pelancongan di Sarawak.
Terdahulu, Ahli Parlimen Petra Jaya yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dalam ucapannya berharap akademi tersebut menjadi realiti agar Sarawak dapat melahirkan pemain-pemain golf profesional pada masa akan datang.
Menurutnya, golf hari ini bukan sahaja dilihat sebagai sukan namun ia berkembang menjadi profesion yang kian digemari.
Sementara itu, pasukan N8 Satok muncul juara edisi ke10 kejohanan yang diadakan di KGS pada 7 April lalu selepas pasukan itu mencatat skor nett keseluruhan 1,559. Tempat kedua milik N7 Samariang dengan 1,594 manakala N6 Tupong di tempat ketiga dengan 1,642.
Dalam kategori Jemputan, Johari Aman muncul juara dengan skor 37 (OCB) disusuli Abdul Rahman Manshor (37) dan Jimmie Teo (36) di tempat ketiga.
Kategori VIP dimenangi ADUN Serembu Miro Simuh dengan skor 35, tempat kedua Datu Ismawi Ismuni (34) dan Datuk Seri Fadillah Yusof meraih tempat ketiga (30).
Bagi acara perseorangan (gross), juara dimenangi Waili Abang (N7), tempat kedua Mohammad Lokman Mustaffa (N6) dan Daniel Yeo (N8) di tempat ketiga.
Kita semakin kekurangan ‘driving range’ di Kuching. Ketika ini hanya Kelab Golf Sarawak mempunyai fasiliti itu untuk peminat golf menjalani latihan. Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan
Manakala perseorangan nett menyaksikan Ahmad Abdul Razak (N6) muncul juara, Irwan Zulkarnain Muhd Hasbie (N8) tempat kedua dan Mohammad Rosli Mustapha (N8) di tempat ketiga.
Kategori gross jemputan wanita dimenangi Noor Afrina A’in Ibrahim, tempat kedua Latifah Lian Kee Abdullah dan Lee Yoon Soo (ketiga). Manakala Helen Liew Kui Fah muncul juara nett jemputan wanita disusuli Livan Deng (kedua) dan Suriani Rapaiee (ketiga).
Hadir sama ADUN Samariang merangkap Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, ADUN Daro Safiee Ahmad dan Presiden Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Sarawak, Tan Sri Abang Khalid Abang Marzuki.