Penetapan mengundi pada hari Rabu mendapat pelbagai reaksi
KUCHING: Penetapan tarikh mengundi 9 Mei iaitu jatuh pada hari Rabu sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelmarin mendapat pelbagai reaksi daripada kalangan pengundi di negeri ini.
Tinjauan Utusan Borneo di sekitar bandar raya ini semalam, mendapati terdapat para pengundi menyokong dan membantah tarikh tersebut.
Menurut Eksekutif Open University Malaysia (OUM) Bintulu Mohammad Taufik Zaini, 30, dari Kampung Mang, Kota Samarahan, sudah menjadi tanggungjawab sebagai pengundi untuk menjalankan tugas yang hanya dilakukan lima tahun sekali.
“Kalau kita hendak tunggu semua orang cuti, bilakah hari tersebut? Sabtu dan Ahad pun masih ramai yang bekerja dan tidak bercuti.
“Ia terpulang kepada diri kita sendiri sama ada sanggup memohon cuti untuk menjalankan tanggungjawab kita sebagai pengundi atau tidak,” katanya.
Tambahnya, SPR sudah menetapkan tarikh mengundi dan sebagai pengundi hendaklah patuh pada penetapan tersebut.
“Apabila ditetapkan pada hari Sabtu atau Ahad, pasti ada juga yang akan mengecam, kerana kita tidak dapat memuaskan hati semua orang,” katanya.
Pandangan yang sama turut dilontarkan seorang peniaga, Nazirol Sama’ail yang memberitahu bahawa dia tidak mempunyai masalah tentang penetapan tarikh tersebut yang jatuh pada hari Rabu.
“Tanggungjawab menentukan tarikh itu terletak pada SPR dan tanggungjawab kita pula sebagai pengundi adalah turun mengundi pada tarikh yang telah ditetapkan itu.
“Setiap orang, setiap jabatan ada tanggungjawab masingmasing, jadi kita harus ikut dan jalankan tanggungjawab kita,” tegasnya.
Manakala seorang lagi, jururawat dari Klinik Kesihatan Sadong Jaya Shafinah Sopi-ee berkata, tarikh tersebut sesuai dan tidak mengganggu hari berehat pada hujung minggu.
“Jika cuti peristiwa itu untuk semua kakitangan kerajaan pada hari tersebut adalah lebih baik lagi kerana tidak perlu memohon cuti dan sebagainya,” jelasnya.
Sementara itu, penolong eksekutif di sebuah badan berkanun kerajaan, Razuan Ramlee tidak bersetuju dengan penetapan tarikh tersebut.
Tegasnya, tarikh tersebut tidak sesuai memandangkan ia adalah hari bekerja dan sudah pasti menyukarkan pengundi terutama yang berkerja di luar kawasan tempat membuang undi.
“Bagi mereka yang bekerja di tempat asal mungkin tidak menjadi masalah, tetapi bagi pengundi bekerja di luar kawasan sudah pasti menyukarkan mereka untuk pulang mengundi,” jelasnya.
Luahan yang sama disuarakan Amanda Nayra, 29, yang merupakan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan berasaskan alam sekitar yang berasal dari Sabah tetapi bertugas di negeri ini.
“Pada pandangan saya tarikh tersebut tidak bersesuaian kerana ia hari bekerja ditambah pula pertengahan minggu dan sukar untuk orang memohon cuti. Kalau hendak cuti pun terpaksa mengambil cuti yang panjang,” ujarnya.
Manakala seorang kakitangan swasta, Othman Hassan, 60, yang berasal dari Sibu, berkata penetapan tarikh mengundi itu tidak sesuai bagi golongan yang bekerja di luar tempat asal.
“Tidak sesuai kerana hari tersebut hari bekerja dan sukar untuk orang seperti saya pulang mengundi di Sibu kerana jauh,” katanya.