Luar bandar ditransformasi menerusi konsep baharu
Kerajaan negeri mentransformasi luar bandar menerusi pembangunan berasaskan bidang pertanian: Abg Johari
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan negeri akan mentransformasi kawasan luar bandar negeri ini menerusi konsep baharu pembangunan luar bandar berasaskan bidang pertanian.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata bagi tujuan itu kerajaan, pertama akan menyediakan infrastruktur asas bagi pembangunan pertanian di luar bandar.
Kedua, Sarawak katanya akan menggunakan teknologi untuk menambah nilai sumber yang dikeluarkan oleh negeri ini dan ketiga pembangunan bakat.
“Institut Kemajuan Desa (INFRA) akan membantu kita melatih pemimpin kita di peringkat akar umbi dan saya berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana menubuhkan Kampus INFRA di Kota Samarahan.
“Institut ini adalah untuk memberi latihan kepada pemimpin akar umbi kita di mana mereka dilatih bagaimana untuk mentadbir urus kampung dan rumah panjang masing-masing.
“Ini adalah sebahagian daripada proses transformasi kita, di mana dalam kita mentransformasi ekonomi dan pembangunan luar bandar, kita juga perlu transformasikan kepimpinan akar umbi di luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Program Sijil Tadbir Urus Desa 2018 Zon Sarawak di DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini semalam.
Tambah Abang Johari, transformasi pemimpin luar bandar dalam tadbir urus desa adalah penting dalam program transformasi luar bandar Sarawak.
Malah menurut Abang Johari, ia juga selari dengan polisi Sarawak di mana kita perlu menggunakan sebaiknya teknologi dalam pengurusan luar bandar.
Menyentuh mengenai perkembangan di Samarahan pula, Abang Johari berkata kerajaan telah bersetuju membina Taman Perindustrian Bio tidak jauh dari Pusat Pengumpulan dekat Taman Perindustrian Kota Samarahan di mana pemprosesan produk tani boleh dilakukan di sini.
Taman tersebut katanya, sudah ada cuma perlu diubah suai mengikut kehendak para usahawan yang menjalankan perusahaan dalam industri tani.
Jika taman ini berjaya katanya, ia akan diperluaskan di daerah-daerah lain seperti Betong dan kawasan utara negeri ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari berkata kawasan luar bandar telah melalui transformasi dan cara mentadbir urus desa juga harus berubah mengikut perubahan semasa.
“Pemimpin akar umbi mesti diberi latihan dan pendedahan tentang apa yang berlaku pada masa kini.
“Produktiviti harus ditingkatkan dan sebab itu saya mahu kita berganjak kepada digital termasuk dari segi cara kita mentadbir urus desa kita,” katanya pada majlis tersebut yang turut dihadiri isteri beliau Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohd Morhsidi Abdul Ghani.
“Institut Kemajuan Desa (INFRA) akan membantu kita melatih pemimpin kita di peringkat akar umbi dan saya berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana menubuhkan Kampus INFRA di “Kota Samarahan.
Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg Ketua Menteri