Nilai jualan dagangan borong, runcit naik kepada RM97.3 bilion
KUALA LUMPUR: Nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia meningkat sebanyak 7.5 peratus pada Februari 2018 kepada RM97.3 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas.
Dalam satu kenyataan semalam, Jabatan Perangkaan berkata nilai jualan itu meliputi perniagaan perdagangan borong sebanyak RM47.6 bilion, perdagangan runcit (RM39.2 bilion) manakala perniagaan kenderaan bermotor (RM10.5 bilion).
Menurutnya, pertumbuhan positif itu disumbangkan oleh sektor perniagaan perdagangan runcit dan borong yang masingmasing berkembang sebanyak 9.2 peratus dan 7.5 peratus.
Indeks volum perdagangan borong dan runcit meningkat 7.1 peratus kepada 158.0 mata pada Februari 2018 daripada tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Ini disokong oleh peningkatan dalam perdagangan runcit sebanyak 8.1 peratus dan borong 7.9 peratus bagi tempoh terbabit, kata jabatan itu menerusi Laporan Indeks Volum Perdagangan Borong dan Runcit bagi Februari 2018 yang dikeluarkan di sini, semalam.
Indeks volum perdagangan borong dan runcit yang dibuat secara pelarasan bermusim, meningkat 0.8 peratus bagi Februari lepas berbanding bulan sebelumnya.
“Indeks volum perdagangan borong berkembang 7.9 peratus bagi tahun ke tahun kepada 165.9 mata pada Februari 2018 manakala bagi perbandingan bulan ke bulan, indeks volum itu mencarat pertumbuhan positif 0.6 peratus daripada Januari 2018.
“Nilai jualan perniagaan borong mencatat pertumbuhan 7.5 peratus kepada RM47.6 bilion berbanding tempoh sama pada 2017. Bagi perbandingan bulan ke bulan, perniagaan ini mencatat pertumbuhan negatif sebanyak 4.4 peratus,” kata jabatan itu.
Indeks volum bagi perniagaan runcit meningkat 8.1 peratus kepada 165.9 mata pada Februari 2018 berbanding bulan sama pada 2017.
Berbanding Januari 2018, indeks volum membabitkan pelarasan bermusim itu telah meningkat 1.0 peratus. — Bernama