AHLI PERNIAGAAN MANGSA TERBAHARU ‘MACAU SCAM’
SIBU: Seorang ahli perniagaan menjadi mangsa terbaharu penipuan ‘Macau Scam’ apabila diperdayakan untuk membuat bayaran tunggakan kad kredit yang tidak wujud.
Mangsa, 52, mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM195,900 selepas membuat 39 transaksi pemindahan wang.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, kejadian itu berlaku apabila mangsa menerima panggilan kononnya daripada seorang pegawai bank.
Katanya, pemanggil tersebut memberitahu pengadu bahawa dia mempunyai tunggakan kad kredit sebanyak RM13,268.
Perbualan pengadu kemudian disambungkan dengan seorang ‘pegawai polis’ yang memaklumkan pengadu bahawa namanya telah digunakan untuk membuka akaun yang banyak dan tidak selamat.
Katanya, ‘pegawai polis’ tersebut memberitahu pengadu bahawa satu laporan polis telah dibuat atas namanya di Balai Polis Petaling Jaya.
Stanley berkata, pengadu diarah untuk memindahkan wang ke dalam empat akaun bank berlainan.
“Setelah pengadu memindahkan wang tersebut, panggilan dimatikan dan pengadu disekat untuk membuat panggilan ke nombor telefon tersebut,” katanya lanjut.
Curiga dengan keadaan itu, pengadu berjumpa seorang pegawai bank di sini namun dinasihatkan untuk membuat laporan polis kerana dirinya telah menjadi mangsa kes penipuan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana disyaki menipu,” tambahnya.