Bekas pengerusi DAP Sarawak meninggal dunia
SIBU: Bekas Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Datuk Jason Wong Sing Nang, 60, meninggal dunia di Sydney, Australia pagi semalam kerana kanser tulang.
Mendiang meninggalkan seorang isteri dan dua anak lelaki.
Difahamkan saudara-mara mendiang dijadual berangkat ke Sydney hari ini untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya.
Wong, seorang peguam yang dihormati, pernah menjadi Ahli Parlimen Lanang selama satu penggal pada 1990 hingga 1995.
Ini susulan kejayaan beliau mengalahkan calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tieu Sung Seng pada Pilihan Raya Umum Ke-8 (PRU8) pada 1990.
Kerusi berkenaan bagaimanapun kembali semula kepada SUPP pada pilihan raya berikutnya selepas Wong tewas kepada Datuk Tiong Thai King yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Dudong.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 1996, Wong mengejutkan ramai pihak apabila memenangi Kerusi Dewan Undangan Negeri ( DUN) Pelawan selepas menewaskan calon SUPP Vincent Goh Chung Siong.
Vincent Goh yang bertanding semula pada PRN 2001 sebagai calon Barisan Nasional (BN) atas tiket SUPP bagaimanapun berjaya merampas kembali kerusi berkenaan.
Walaupun beliau merupakan wakil rakyat pembangkang, Wong turut menyokong rang undang-undang yang dibentangkan kerajaan negeri termasuk pindaan Kanun Tanah Sarawak.
Pada 2013, beliau dianugerahkan gelaran Datuk oleh kerajaan negeri.