Program KSM Bersama Masyarakat di Lanang hari ini
KUCHING: Program Kementerian Sumber Manusia (KSM) Bersama Masyarakat di Lanang akan diadakan pada 14 April (hari ini) mulai jam 8 pagi hingga 2 petang di Dewan Gabungan Persatuan Cina Sibu.
Penganjuran program tersebut adalah berdasarkan kepada konsep jalinan kemesraan, kerjasama dan keprihatian KSM terhadap masyarakat setempat dengan kerjasama Gabungan Persatuan Cina Sibu.
Menurut kenyataannya semalam, ia bakal dirasmikan oleh Pengarah Tenaga Kerja (JTK) Sarawak Jack Meredu Ko dengan pengisian pelbagai aktiviti yang bermanfaat dan berinformatif disediakan untuk pengunjung yang hadir.
Antara lain, ceramah JobsMalaysia kepada pencari kerja dan Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya ( SBGPOKU) yang bakal disam- paikan oleh pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak.
Taklimat keselamatan juga akan disampaikan oleh pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sarawak (JKKP).
Selain itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia ( PERKESO) akan mengadakan penyerahan cek bayaran pampasan faedah kepada penerima faedah yang telah dikenal pasti untuk dibayar pampasan ekoran daripada kemalangan, sakit atau kematian dan penyerahan topi keledar dan vest kepada para pekerja yang telah dikenal pasti daripada syarikat-syarikat yang beroperasi di Sibu yang menggunakan motosikal ke tempat kerja.
“National Institute for Occupational Safety and Health (NIOSH) turut memberi beg dan peralatan sekolah kepada 58 pelajar dan 10 unit pemadam api kepada Sekolah Menengah Wong Nai Siong,” kata kenyataannya itu semalam.
Jabatan atau agensi KSM di negeri Sarawak dan pusat kemahiran juga mengadakan demonstrasi pekerjaan dan pameran berkaitan fungsi jabatan seperti JTK Sarawak, NIOSH, JKKP, PERKESO, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Akademi Binaan Malaysia (ABM) dengan kerjasama Hock Seng Lee Berhad dan penyedia latihan di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) menyediakan perkhidmatan gunting rambut secara percuma.
Program ‘ walk- about’ turut diadakan di sekitar kawasan Lanang, Sibu melibatkan ketua-ketua jabatan atau agensi KSM di Sarawak dan pemberian ihsan kepada penerima faedah PERKESO serta penerima sumbangan khas Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dari rumah ke rumah.